Ikan laga warna bendera Thailand dijual lebih AS$1,500

Ikan laga warna bendera Thailand dijual lebih AS$1,500

BANGKOK, 17 Nov – Seekor ikan laga Siam yang memiliki warna bendera kebangsaan Thailand telah dibeli dengan harga pecah rekod sekitar 53,500 baht (AS$1,530) dalam lelongan dalam talian, menjadikan ia ikan Betta paling mahal yang pernah dijual. Gambar ikan, berwarna biru dengan jalur horizontal merah dan putih menyerupai bendera Thailand, menjadi viral selepas pembiaknya, Kachen Worachai menyiarkannya dalam kumpulan lelongan ikan Betta di laman sosial.

Kachen berkata hari ini dia menjangkakan seseorang akan membeli ikan itu dengan harga ribuan baht namun terkejut apabila bidaan itu mencatat 10,000 baht (AS$285) pada hari kedua.

“Saya tidak pernah menjangkakan ikan saya akan mencapai harga sebegitu,” kata Kachen, pemilik kedai serba guna yang membiak ikan Betta sebagai satu hobi.

Dia menyiarkan gambar itu pada 6 November dengan permulaan bidaan kira-kira 99 baht (AS$2.82) dan menutup lelongan pada 8 November.

Seekor ikan laga Siam dengan warna serupa bendera kebangsaan Thailand berenang dalam akuarium di Nakhon Pathom, Thailand. – AP
Seekor ikan laga Siam dengan warna serupa bendera kebangsaan Thailand berenang dalam akuarium di Nakhon Pathom, Thailand. – AP

Ikan Betta telah dibiakkan sebelumnya untuk menghasilkan semula warna-warna bendera Thailand namun tiada yang hampir-hampir menyamainya.

Harga tertinggi sebelumnya adalah ikan Betta ekor separa bulan yang dijual pada harga 23,500 baht (AS$671).

“Peluang untuk mendapatkan ikan dengan warna sebenar bendera adalah satu dalam 100,000,” kata Kachen. “Ramai orang yang cuba untuk membiak ikan dengan warna bendera Thailand, namun tuah memihak kepada saya.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA