Ikan yu: Empat pantai Australia ditutup

Ikan yu: Empat pantai Australia ditutup

SYDNEY, 26 Julai (AFP) – Empat buah pantai di pantai timur Australia ditutup hari ini selepas ikan yu dilihat banyak kali, menurut polis, ketika pihak berkuasa menjalankan rondaan di perairan pulau selatan ekoran serangan maut ke atas seorang penyelam sehari sebelumnya.

Polis New South Wales berkata pantai-pantai di Ballina – yang mana seorang peluncur cedera parah akibat seekor ikan yu awal bulan ini dan seorang peluncur warga Jepun terbunuh pada bulan Februari – akan ditutup selama 24 jam.

“Kira-kira 9:30 pagi seekor ikan yu besar dilihat berenang kira-kira 50 meter dari perairan pantai Angels,” polis berkata dalam satu kenyataan, dengan menambah melihat kehadiran lain haiwan pemangsa itu.

“Dipercayai berpunca daripada kehadiran ikan baitfish yang telah menarik perhatian ikan yu ke kawasan itu.”

Surf Life Saving NSW berkata rondaan bot, udara dan jet ski dijalankan di perairan Ballina, sebuah tumpuan popular pelancong kira-kira 740 kilometer utara Sydney.

Ikan yu dilihat sehari selepas seorang penyelam pemungut kapis, yang dinamakan Damian Johnson oleh Syarikat Penyiaran Australia dan berusia lewat 40-an, diserang ikan yu di perairan Pulau Maria di negeri selatan Tasmania dan kejadian itu dilihat oleh anak perempuannya.

Johnson berjaya naik ke permukaan air namun tidak berjaya menyelamatkan diri.

Polis Tasmania dan bot menangkap ikan menjalankan rondaan di perairan Pulau Maria hari ini, dengan orang ramai diberi amaran supaya menjauhinya.

Menurut fail Serangan Ikan Yu Australia Zoo Taronga, Sydney, serangan maut terakhir ikan yu di Tasmania ialah pada tahun 1993, apabila seorang wanita terbunuh ketika melakukan penyelaman skuba berhampiran koloni anjing laut di perairan pantai utara negeri itu.

Sementara baka ikan yu belum lagi dipastikan, Michael Kent, datuk bandar Glamorgan, kawasan berhampiran berkata penduduk setempat telah melihat ikan yu putih berukuran 4.5 meter di kawasan itu minggu lalu.

“Hujung ekor ikan yu berwarna putih dilihat beberapa kali pada minggu lalu di persekitaran tetapi tidak begitu banyak ikan yu di dalam dan sekitar kawasan tertentu itu,” dia memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia.

Para pakar berkata serangan meningkat ketika sukan air semakin popular, tetapi bahaya kematian masih jarang sekali.

ARTIKEL YANG SAMA