Ikan yu serang peluncur veteran

Ikan yu serang peluncur veteran

SYDNEY, 1 Dis – Seorang peluncur veteran terselamat namun mengalami kecederaan pada kaki dan tangan selepas seekor ikan yu putih merempuh papan luncurnya dan menyeretnya ke dalam air di perairan timur Australia hari ini.

Peluncur berusia 65 tahun itu berjaya berenang ke pesisir dan meminta pertolongan sebelum diangkat melalui udara menuju ke hospital dalam keadaan stabil.

“Peluncur itu mengalami kecederaan berlubang pada kaki dan tangannya,” menurut polis negeri New South Wales, tentang kejadian di pantai Seven Mile Beach berhampiran Forster, 300 kilometer utara Sydney.

Jabatan perindustrian utama negeri itu, yang berada di tempat kejadian itu, dalam Twitter menyatakan ‘para pakar telah mengesahkan ikan yu yang terlibat dalam kejadian itu di perairan Taman Negara Booti Booti pagi ini adalah ikan yu putih.”

Newcastle Herald melaporkan ia berukuran sehingga 3.5 meter dengan gambar-gambar menunjukkan gigitan besar pada papan peluncur lelak itu, yang terbelah dua.

Anggota kru helikopter penyelamat Westpac Graham Nickerson berkata peluncur itu memberitahunya dia bersama rakan-rakannya apabila ikan yu itu menyerangnya dari bawah.

“Jelas ikan yu itu muncul di bawah papan luncurnya, merenggut papan luncur hingga terputus dua dan kemudian menyeretnya ke bawah dengan tali kaki,” Nickerson memberitahu para pemberita.

“Dia agak gembira, setelah apa yang dilaluinya, namun dia mengalami luka melecet teruk pada lengan bawahnya, tetapi dia dalam keadaan stabil.”

Pantai itu telah ditutup sehingga makluman lanjut. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA