IKEA naikkan gaji pekerja

IKEA naikkan gaji pekerja

NEW YORK, 24 Jun (Agensi) – Ikea divisyen Amerika Syarikat (AS) sedang menambah gaji minimum untuk tahun kedua berturut-turut tatkala rangkaian perabot sedia pasang Sweden itu berharap dapat mempertingkatkan hubungannya dengan pekerjanya dan mengurangkan jumlah pekerja yang berhenti.

Mulai 1 Januari, gaji minimum purata satu jam Ikea akan dinaikkan kepada $11.87, iaitu $4.62 melebihi gaji persekutuan sekarang dan menandakan pertambahan sebanyak $1.11, atau 10 peratus, daripada gaji minimum purata tahun ini.

Kenaikan itu akan menjejaskan 32 peratus daripada 10,500 pekerja kedai Ikea AS dan akan menambah gaji purata setiap jam kepada $15.45. Ia meningkat daripada $14.19 setiap jam sekarang. Pertambahan itu juga merangkumi pekerja di beberapa pusat pengedaran.

Ikea menambah gaji minimum pada Jun 2014 sebanyak 17 peratus, berkuat kuasa 2015. Ia menandakan pertambahan terbesar dalam 10 tahun untuk peruncit itu di AS. Ia juga menambat kenaikan kepada kos sara hidup di setiap lokasi, dan bukannya apa yang ditawarkan oleh pesaing seperti yang dilakukan oleh kebanyakan kedai, mengisyaratkan satu pendekatan baru kepada struktur gajinya.

Kenaikan gaji berlaku tatkala beberapa peruncit, termasuk Wal-Mart Stores Inc., telah mengumumkan kenaikan gaji dan insentif lain untuk menarik pekerja dan kekal kompetitif dalam pasaran pekerjaan yang semakin meningkat. Mereka juga telah menghadapi tekanan daripada kumpulan pekerja untuk menambah gaji dan memperbaiki keadaan kerja.

pg19_150625_a

Rob Olsen, ketua pegawai kewangan di Ikea divisyen AS, memberitahu The Associated Press semalam bahawa pertambahan yang diumumkan pada tahun lalu adalah berdasarkan data berusia beberapa tahun daripada Kalkulator Gaji Hidup MIT, yang mengambil kira kos perumahan, makanan, perubatan dan pengangkutan serta cukai tahunan. Ikea melihat timbulnya keperluan untuk menambah gaji pada tahun depan berdasarkan data baru daripada kalkulator gaji hidup.

Seperti peruncit lain, Ikea sentiasa menyelaras gaji berdasarkan apa yang ditawarkan oleh pesaing.

Bermula dengan pertambahan yang diumumkan pada tahun lalu, kenaikan adalah berbeza berdasarkan kos sara hidup di setiap satu daripada 40 lokasi kedai di AS. Misalnya, Olsen berkata pekerja Ikea di kedai Elizabeth, New Jersey, akan melihat kenaikan gaji sebanyak 22 peratus.