IKEA rancang berkembang ke Johor, Pulau Pinang

IKEA rancang berkembang ke Johor, Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) – Syarikat perabot terkemuka Sweden, IKEA, yang akan membuka gedung keduanya di Cheras tidak lama lagi, merancang mengembangkan operasinya ke Johor dan Pulau Pinang.

Pengarah Runcit IKEA bagi Malaysia, Singapura dan Thailand, Mike King berkata, syarikat itu ketika ini sedang mencari lokasi untuk membuka gedungnya di kedua-dua negeri tersebut.

“Kami sedang mencari tapak yang sesuai bagi gedung di kedua-dua negeri itu. Kemungkinan besar Johor dahulu dan kemudiannya Pulau Pinang. Ingin saya katakan di sini bahawa gedung-gedung itu akan dibuka dalam dekad ini juga,” katanya kepada pemberita pada majlis prapelancaran IKEA Cheras, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada IKEA juga merancang membuka gedung di Sabah dan Sarawak, King berkata syarikat itu sentiasa berusaha untuk mengembangkan perniagaannya tetapi belum membuat sebarang keputusan lagi.

IKEA hari ini mengumumkan ia akan membuka gedung keduanya di Jalan Cochrane di Cheras pada akhir November tahun ini.

Dengan pembukaan IKEA Cheras, syarikat itu akan mempunyai lima gedung di Asia Tenggara dengan dua di Malaysia, dua di Singapura dan sebuah di Thailand.

ARTIKEL YANG SAMA