Ikea tarik balik perabot di China

Ikea tarik balik perabot di China

SHANGHAI, 13 Julai – Syarikat gergasi perabot Sweden, Ikea telah menarik balik lebih 1.6 juta kabinet dan barangan lain di China berhubung potensinya yang membahayakan keselamatan, menurut kerajaan dan syarikat itu, berikutan langkah serupa di Amerika Utara.

Kerajaan China berkata dalam satu kenyataan perabot yang ditarik balik itu boleh jatuh jika tidak dipasang de-ngan betul pada dinding, kemungkinan akan mengakibatkan kecederaan atau kematian kepada kanak-kanak.

Ikea mengumumkan dua minggu lalu bahawa ia menarik balik lebih 35 juta peti dan kabinet dapur di Amerika Syarikat dan Kanada ketika pengawal atur berkata enam kanak-kanak meninggal dunia akibat kemalangan itu.

Pentadbiran Am Penyelia Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin China – yang mengeluarkan kenyataan itu pada Isnin – tidak mengatakan sama ada sebarang kemalangan telah berlaku di tanah besar China melibatkan perabot yang telah ditarik balik.

Penarikan itu termasuk sebarisan ‘Malm’ Ikea, kata agensi kerajaan, yang menyiarkan senarai terperinci barangan itu, yang dihasilkan antara tahun 1999 dan 2016 serta termasuk yang diimport.

Dalam satu kenyataan di laman webnya, Ikea meminta maaf kepada para pengguna China.

“Keselamatan produk, terutamanya bagi keselamatan kanak-kanak, sudah lama menjadi tumpuan utama hasil kerja Ikea tanpa diragui lagi. Kami tetap berharap para pengguna akan sentiasa yakin produk-produk Ikea yang mereka beli adalah selamat untuk digunakan,” katanya.

Syarikat itu turut menawarkan untuk menyediakan pemasangan dinding percuma kepada para pelanggan yang memiliki perabot yang terjejas atau pembayaran balik se-penuhnya, menurut kenyataan tersebut.

Ikea di Amerika Utara telah menarik balik 29 juta unit terjejas yang dijual di Amerika Syarikat dan 6.6 juta unit yang dijual di Kanada, menurut Ikea dan pengawal atur keselamatan di dua buah negara. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA