IKERAB FC terus mara

IKERAB FC terus mara

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Lapan gol dijaringkan dalam tempoh 45 minit pertama tetapi tiada jaringan berjaya dihasilkan dalam tempoh 45 minit berikutnya dalam perlawanan pelik Kumpulan A, Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara antara IKERAB FC dengan Dagang FC.

Kedudukan perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah yang pada satu ketika sudah terikat 1-1 padahal baru berlangsung 12 minit tiba-tiba berubah sekelip mata menjadi 4-1 memihak IKERAB FC semasa perlawanan baru mencecah minit ke-17 perlawanan.

Tiga gol dalam tempoh tiga minit berjaya dihasilkan IKERAB FC masing-masing menerusi jaringan Abdul Hanan bin Haji Abas pada minit ke-15, Awangku Mohd Wazin bin Pengiran Sallehuddin pada minit ke-16 dan Abu Yazid Al-Busthami bin Haji Abas pada minit ke-17.

Pada kedudukan selesa mendahului 4-1, IKERAB FC semakin ghairah mencari gol tambahan tetapi tiba-tiba Dagang FC pula berjaya mencuri peluang merapatkan kedudukan menjadi 2-4 hasil jaringan ke0dua peribadi Mohd Ezrith pada minit ke-25.

IKERAB FC mencatat kemenangan 5-3 ke atas Dagang FT dalam Kumpulan A.
IKERAB FC mencatat kemenangan 5-3 ke atas Dagang FT dalam Kumpulan A.

Pada minit ke-40, Abu Yazid Al-Busthami berjaya membolosi gawang Dagang FC buat kali keduanya untuk mengembalikan semula pendahuluan tiga gol IKERAB FC, kini dengan jaringan 5-2.

Namun Mohd Safiuddin Shah bin Haji Mahali sempat memberi harapan untuk mengejar kedudukan apabila sempat menjaringkan gol pada penghujung babak pertama iaitu minit ke-45 untuk membawa kedudukan 3-5 ke separuh masa kedua.

Ketika jumlah jaringan disangka akan terus meningkat sejurus babak kedua bermula, ternyata sangkaan itu meleset sama sekali tanpa adanya jaringan terhasil lagi untuk keputusan muktamad IKERAB FC menang 5-3, sekaligus membuka peluang kemaraan pasukan kendalian Mohd Habil bin Haji Bakri ke pusingan kedua liga.

Dengan IKERAB FC sudah menamatkan kempen peringkat kumpulannya dengan mengumpul sembilan mata daripada lima perlawanan, Mohd Habil berharap pertemuan di antara MSN United dengan Sporting Family Team nanti akan dapat memberikan keputusan yang boleh memastikan kemaraan pasukannya.

Perebutan merebut dua tempat teratas Kumpulan A masih terbuka luas buat Sporting Family Team, MSN United FC, IKERAB FC dan PESEJA United.

ARTIKEL YANG SAMA