Iklan Google sasar pengguna mudah alih

Iklan Google sasar pengguna mudah alih

SAN FRANCISCO, 25 Mei – Google kelmarin mengumumkan reka bentuk semula iklan produk yang lebih menarik untuk peranti mudah alih dengan pendekatan hanya pada detik-detik yang tepat.

Perubahan itu ditetapkan untuk mengambil tempat pada akhir tahun ini termasuk meluaskan ruang iklan teks dan menjadikan tajuk utama lebih menonjol.

Maklum balas awal menunjukkan iklan yang lebih besar menarik lebih banyak ‘klik’ daripada pengguna mudah alih dengan membiarkan mereka tahu lebih lanjut mengenai tawaran sebelum meneroka laman web peniaga. Google juga memperkenalkan iklan carian tempatan pada perkhidmatan bebas Google Maps dan Google.com.

Taktik yang sedang diuji itu termasuk promosi “pin” yang terdapat pada Maps untuk menunjukkan lokasi kedai-kedai kopi, stesen minyak, restoran atau tawaran lain yang orang mungkin mahu, Naib Presiden Kanan Iklan dan Perdagangan Google, Sridhar Ramaswamy berkata dalam posting blog.

“Kami sedang bereksperimen dengan pelbagai format iklan di Maps untuk menjadikannya lebih mudah bagi pengguna mencari perniagaan ketika mengemudikan dunia di sekeliling mereka,” kata Ramaswamy.

Google masih lagi menjadi mesin penjana wang buat syarikat induk Alphabet, dengan sebahagian besar pendapatannya datang daripada iklan dalam talian.

Gergasi Internet yang berpangkalan di California itu sedang berusaha untuk kekal di barisan hadapan dalam trend melayari Internet menggunakan telefon pintar atau tablet, di mana pengiklanan kurang menguntungkan berbanding pada komputer desktop.

Taktik Google merangkumkan kecerdasan buatan ke dalam perkhidmatan untuk memenuhi kehendak pelanggan dan memahami konteks pertanyaan bagi mengetahui kehendak seseorang pada saat-saat yang ideal, seperti apabila mereka lapar dan sedang mencari tempat untuk makan tengah hari.

“Setiap tahun, terdapat berjuta-juta carian di Google dan lebih separuh carian berlaku di telefon bimbit,” kata Ramaswamy. “Untuk membantu pemasar berjaya dalam dunia mudah alih pertama ini, kami telah mereka semula AdWords dari bawah.” – AFP