Iklim ‘cabaran utama’ masa kini

Iklim ‘cabaran utama’ masa kini

WASHINGTON, 4 Ogos (AFP) – Presiden Barack Obama semalam merujuk perubahan iklim sebagai cabaran paling getir masa kini, ketika beliau julung kalinya melancarkan pengehadan ke atas emisi loji tenaga Amerika Syarikat.

“Tiada cabaran paling besar yang menjadi ancaman kepada masa depan kita dan generasi akan datang berbanding dengan perubahan iklim,” kata Obama, sambil memberi amaran: Ada juga perkara yang dikategorikan sebagai terlalu lewat.”

“Ini adalah salah satu isu yang jarang, kerana magnitudnya, kerana skopnya, yang jika kita tidak segera membetulkannya, kita tidak mungkin akan berupaya untuk menukarnya,” katanya di Rumah Putih.

“Kita mungkin tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan secukupnya.”

Dalam percubaan untuk sekurang-kurangnya cuba memperlahankan proses, Obama mengumumkan bahawa para pemilik loji tenaga perlu mengurangkan emisi karbon dioksida sebanyak 32 peratus berbanding paras 2005 menjelang tahun 2030.

Presiden Obama ketika melancarkan pengehadan ke atas emisi loji tenaga Amerika Syarikat di Rumah Putih pada 3 Ogos 2015. – AFP
Presiden Obama ketika melancarkan pengehadan ke atas emisi loji tenaga Amerika Syarikat di Rumah Putih pada 3 Ogos 2015. – AFP

Loji tenaga elektrik merupakan kira-kira 40 peratus emisi karbon dioksida di Amerika Syarikat, gas rumah hijau paling biasa yang menyumbang kepada perubahan iklim.

Obama menyifatkan langkah itu sebagai “langkah paling penting yang pernah Amerika laksanakan dalam usaha menangani perubahan iklim global.”

Pengumuman itu menandakan titik mula kempen alam sekitar selama sebulan yang akan membentuk legasinya.

Kemudiannya pada bulan ini, Obama akan menjadi presiden pertama untuk mengadakan lawatan ke Artik Alaska.

“Rakan-rakan warga Amerika sudah pun menyaksikan komuniti mereka mengalami kemusnahan akibat pencairan ais dan peningkatan paras laut,” kata Obama.

Pada September, apabila Obama menghoskan Paus Francis di Rumah Putih, mereka dijangka membuat gesaan bersama bagi tindakan segera ke arah usaha mengekang perubahan iklim.

Sementara itu pada Disember, perwakilan dari seluruh dunia akan berhimpun di Paris, Perancis untuk mencapai kesepakatan mengenai peraturan untuk mengehadkan peningkatan suhu global kepada dua darjah Selsius.