IKLS FC hilang mata, Indera, LS79 bertemu lagi

IKLS FC hilang mata, Indera, LS79 bertemu lagi

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Keputusan IKLS FC untuk menarik diri daripada meneruskan baki tiga perlawanan Liga Super DST 2015 dan Piala FA DST 2015 mengundang padah apabila kesemua sembilan mata yang dikutip daripada 15 perlawanan Liga Super DST sebelum ini dibatalkan.

Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) dalam satu kenyataannya hari ini, juga memaklumkan IKLS FC yang dilanda masalah dalaman sehingga menarik diri daripada Piala FA DST membolehkan lawannya pada pusingan ketiga, Menglait FC, melangkah terus ke peringkat suku akhir secara percuma.

Menglait FC kini hanya perlu menunggu pemenang perlawanan pusingan ketiga antara Kilanas FC dengan Tabuan B-16.

Dalam kenyataan sama, NFABD juga memutuskan perlawanan di antara Indera SC dengan Tabuan Muda (LS79) yang dibatalkan pada 25 Oktober 2015 disebabkan kesilapan teknikal, diadakan sekali lagi pada 22 November ini, dan keputusan perlawanan asal 25 Oktober lalu juga dibatalkan.