IKLS tewaskan Lun Bawang 4-3

IKLS tewaskan Lun Bawang 4-3

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis – IKLS FC berjaya menewaskan Lun Bawang 4-3 semasa perlawanan terakhir masing-masing bagi kempen Liga Super DST 2015 namun kemenangan itu masih belum cukup untuk IKLS FC memintas Lun Bawang di tempat kelapan liga walaupun sama-sama mengumpul 12 mata.

IKLS FC walaupun mempunyai jaringan lebih tinggi (27 gol) berbanding Lun Bawang (26 gol) tetapi bolosnya terlalu tinggi iaitu 62 gol (perbezaan gol -35) berbanding 49 bolos (perbezaan gol -23) buat Lun Bawang, yang menyebabkan IKLS FC kekal menghuni tangga kesembilan.

Dalam perlawanan di Kompleks Sukan Berakas (KSB) berkenaan, Amir Bujang membawa Lun Bawang ke depan pada minit ke-11 namun segera disamakan oleh Awangku Mohd Abdul Halim bin Pengiran Haji Hassan dua minit kemudian menerusi sepakan penalti.

Amir Bujang sekali lagi menemui sasarannya di gawang IKLS FC pada minit ke-17 tetapi tiga minit berselang kedudukan menjadi seimbang semula, 2-2, apabila Abdul Hafiz bin Azmin menjaringkan gol buat IKLS FC.

IKLS FC menang 4-3 ke atas Lun Bawang dalam perlawanan menarik Liga Super DST 2015.
IKLS FC menang 4-3 ke atas Lun Bawang dalam perlawanan menarik Liga Super DST 2015.

IKLS FC buat pertama kalinya mengemudi perlawanan apabila Awangku Mohd Abdul Halim berjaya merembat bola masuk ke gawang Lun Bawang pada minit ke-32.

Namun sepuluh minit kemudian menjadi giliran Lun Bawang pula untuk menyamakan kedudukan, kali ini dengan jaringan 3-3 menerusi jaringan Mohd Alikhan bin Haji Mohd Yakob.

Kedudukan 3-3 itu bukan saja kekal sehingga rehat bahkan hampir keseluruhan separuh masa kedua sehinggalah pada minit-minit terakhir perlawanan apabila Abdul Hafiz mencatat gol kedua peribadinya untuk gol keempat IKLS FC pada minit ke-89, yang sekali gus menjadikan kedudukan 4-3 itu jaringan muktamad perlawanan.