IKLS Veteran ke suku akhir

IKLS Veteran ke suku akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – IKLS Veteran berjaya mara ke suku akhir Piala Presiden Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan DST 2015 selepas menundukkan Terazza FC 5-2 petang ini.

Walaupun Terazza FC yang mendahului perlawanan 1-0 seawal minit ke-5 menerusi sepakan penalti Samin Duraman, namun IKLS Veteran hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan, 1-1, yang disumbangkan oleh Md Sapri Haji Salleh.

IKLS Veteran mendahului perlawanan di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Airport Lama, Berakas itu 3-1 dengan dua gol pantas pada minit ke-30 dan ke-31 masing-masing dijaringkan oleh Haji Ali Rahman Haji Sulaiman dan Zainal Abidin Haji Masri. Roslan Haji Ahmad menjaringkan gol kedua Terazza FC pada minit ke-43 untuk mendekatkan pasukannya hanya satu gol di belakang IKLS Veteran tetapi separuh masa pertama berakhir 4-2 apabila Azmain Haji Masri menyempurnakan sepakan penalti untuk IKLS Veteran pada minit ke-45.

Hanya dua minit selepas rehat, kedudukan berubah menjadi lebih selesa buat IKLS Veteran, dihasilkan oleh Zainal Abidin Haji Masri, dan ternyata jaringan itu menjadi jaringan terakhir perlawanan untuk memuktamadkan keputusan 5-2 memihak kepada IKLS Veteran.

Persaingan bola antara pemain IKLS Veteran (merah) dengan Terazza pada pusingan kedua Piala Presiden.
Persaingan bola antara pemain IKLS Veteran (merah) dengan Terazza pada pusingan kedua Piala Presiden.