Ikon inspirasi segenap rakyat

Ikon inspirasi segenap rakyat

Oleh Mohamad Asyramisyanie, Imelda Groves HA, Sim Y.H. & Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat serta Penduduk di keempat-empat daerah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan juga merupakan peluang untuk menyatakan ikrar taat setia kehadapan majlis Baginda Sultan.

Pengerusi Masyarakat Tiong Hwa, Malcolm Lim, ketika ditemui di majlis itu, menyatakan ikrar setia masyarakat itu di negara ini kepada pucuk kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan.

“Baginda mempunyai hati budi dan sifat rendah diri yang mengagumkan dan ini menjadikan Baginda sebagai ikon yang berpengaruh terutama kepada golongan muda dan generasi belia masa kini,” ujarnya.

Menurut beliau, kecerdasan dan kecergasan Baginda Sultan turut menjadi inspirasi kepada semua golongan masyarakat untuk terus aktif dan proaktif memajukan bangsa dan negara.

Katanya lagi, dalam kepercayaan masyarakat Cina, angka 69 adalah sempurna kerana ia menggambarkan ying yang, “justeru kami mendoakan Baginda Sultan akan diberikan tahun-tahun yang sempurna di sepanjang memerintah Negara Brunei Darussalam tercinta ini”.

Masyarakat Tiong Hwa turut melafazkan ikrar taat setia kepada Baginda Sultan.
Masyarakat Tiong Hwa turut melafazkan ikrar taat setia kepada Baginda Sultan.
Warga DST yang tidak ketinggalan memeriahkan majlis ramah mesra.
Warga DST yang tidak ketinggalan memeriahkan majlis ramah mesra.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DST, Haji Suhaimi bin Hussain pula menekankan komitmen berterusan DST untuk mendukung dan menjunjung titah perkenan Baginda Sultan dalam apa jua aspek yang berkaitan di dalam bidang kuasa mereka.

“Keadaan semakin meriah dan semakin bersemarak itulah secara ringkas yang dapat saya gambarkan akan acara ini dan ia lebih bermakna apabila tahun ini kami meraikan tahun ke-20 ulang tahun penubuhan DST,” ujarnya.

Dalam kesempatan itu, beliau mewakili seluruh warga DST menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan mendoakan semoga Baginda Sultan akan sentiasa dilindungi dan dipanjangkan usia serta terus kekal karar di atas takhta Negara Brunei Darussalam.

Timbalan Pengerusi Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Dermot Mannion, turut menyatakan perasaan berbesar hati untuk menyertai acara berkenaan buat kali ke-5 sejak menjawat jawatannya lima tahun lalu.

“Setiap tahun saya pasti akan teruja dan begitu juga seluruh warga RB yang sentiasa mahu untuk turut serta dalam majlis ini untuk bersua muka bersama pemimpin yang disegani dan dihormati,” ujarnya.

Menurut beliau, Baginda Sultan adalah seorang pemimpin yang perlu dicontohi kerana sokongan padu dan titah perkenan Baginda dalam apa jua cabaran yang kita hadapi memberikan galakkan dan dorongan untuk kita lebih maju dan berdaya saing.

Manakala Pengerusi Pusat Kegiatan Warga Emas, Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin ketika ditemui pula berkata warga emas turut turun padang dengan semangat untuk sama-sama membabitkan diri memeriahkan suasana majlis.

“Kami sangat bersyukur kerana setiap tahun diberi kesihatan dan kemudahan untuk berkesempatan bersua muka dan menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan pada kami ia menyuntik semangat supaya warga emas lebih percaya diri, lebih berusaha untuk menjaga kesihatan, menambah ilmu dan menambah takwa,” katanya.

Beliau mewakili Pusat Kegiatan Warga Emas turut menyuarakan perasaan sangat bersyukur atas sokongan berterusan Baginda Sultan kepada pusat berkenaan baik dari aspek penjagaan kesihatan, keagamaan dan kebajikan.

“Hamba Kebawah Duli Tuan Patik, mewakili Pusat Kegiatan Warga Emas menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan mendoakan semoga Baginda dan kerabat Baginda akan terus dirahmati, Dirgahayu Kebawah Duli Tuanku.”

ARTIKEL YANG SAMA