Ikrar capai 45 peratus pelepasan karbon dioksida menjelang 2030

Ikrar capai 45 peratus pelepasan karbon dioksida menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 21 April – Malaysia berikrar semula untuk mengurangkan pelepasan 45 peratus karbon dioksida (CO2) menjelang 2030 untuk menangani perubahan iklim dan pemanasan global.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Persekutuan (FDTCP) Datuk Dr Dolbani Mijan berkata ikrar baharu itu adalah didorong oleh hasil yang menggalakkan dengan pengurangan 33 peratus, antara 2005 sehingga tahun lepas.

“Pada 2009, kerajaan telah mengisytiharkan pengurangan sukarela 40 peratus daripada segi intensiti pelepasan daripada KDNK menjelang 2020 berbanding tahap 2005.

“Bagaimanapun, kami mendapati bahawa kami telahpun mencapai 33 peratus menjelang 2015 dan yakin untuk mencapai 40 peratus menjelang 2020 dan kini positif untuk menetapkan sasaran lebih tinggi,” kata beliau pada Simposium Antarabangsa mengenai Pembangunan Karbon Rendah di Asia 2016, di sini, hari ini.

Beliau berkata ia adalah amat penting bagi Malaysia untuk mencapai sasaran tersebut kerana Malaysia ialah antara negara yang menghasilkan pelepasan karbon dioksida paling tinggi di kalangan negara di Asia selepas Singapura dan Brunei.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan mempunyai peranan amat penting dalam mencapai sasaran itu memandangkan kira-kira dua pertiga daripada pelepasan karbon dioksida disumbangkan oleh kawasan-kawasan bandar.

Beliau juga menegaskan bahawa usaha untuk menetapkan Panduan Pelaksanaan bagi Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau bagi Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia pada 2013 adalah satu daripada penyumbang utama kepada pencapaian. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA