Ikrar cari punca tragedi

Ikrar cari punca tragedi

MEKAH, Arab Saudi, 13 Sept (AFP) – Raja Arab Saudi, Raja Salman berikrar semalam untuk mengenal pasti punca insiden kren tumbang yang meragut 107 jiwa di Masjid Kota Suci Mekah, Masjidilharam ketika jemaah sedang melaksanakan rukun haji.

Meskipun tragedi yang berlaku pada Jumaat itu, pihak berkuasa Saudi mengatakan jemaah tetap melaksanakan solat di sana sehari selepas insiden berkenaan.

Ratusan ribu jemaah sudah tiba di Mekah apabila kren gergasi merah putih itu tumbang semasa ribut melanda pada Jumaat.

“Kami akan menyiasat semua sebab dan seterusnya mengumumkannya keputusannya kepada orang ramai,” kata Raja Salman selepas mengunjungi tapak berkenaan.

Sebahagian Masjid Suci itu kekal ditutup pada Sabtu di sekitar runtuhan kren, yang juga mencederakan sekitar 200 orang apabila ia terhempas ke arah lamannya.

Seorang jemaah menyaksikan kren yang tumbang pada Jumaat di hadapan Masjidilharam di Arab Saudi pada 12 September. – AFP
Seorang jemaah menyaksikan kren yang tumbang pada Jumaat di hadapan Masjidilharam di Arab Saudi pada 12 September. – AFP

Warga Indonesia dan India di kalangan mereka yang terkorban apabila kren itu tumbang, sementara yang cedera termasuk warga Malaysia, Mesir, Iran, Turki, Afghanistan dan Pakistan.

Raja Salman turut menyatakan rasa takziahnya kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dan turut mengunjungi sebuah hospital tempatan “untuk memeriksa keadaan mereka yang cedera,” menurut pegawai Agensi Akhbar Saudi.

Salah seorang jemaah Maghribi, Om Salma, mengatakan ‘telefon kami tidak berhenti berdering sejak kelmarin dengan sanak-saudara kami berasa khuatir akan keselamatan kami.”

Manakala Mohammed juga jemaah Maghribi ketika memberitahu AFP mengatakan, “Tiba-tiba saya mendengar bunyi guruh dan kemudian kami mendengar bunyi yang sangat kuat, rupanya ia adalah bunyi kren tumbang.”

Sementara seorang pegawai Saudi mengatakan kemuncak haji yang dijangka bermula pada 21 September akan tetap diteruskan.

Satu jawatankuasa siasatan dengan ‘segera’ telah melaksanakan pencarian punca runtuhan berkenaan, lapor SPA, dengan kontraktor yang terlibat dalam pelebaran besar masjid berkenaan, telah diarahkan untuk memastikan keselamatan semua kren lain di tapak berkenaan, tambahnya.

Kren-kren pembinaan menjulang tinggi di atas masjid berkenaan yang sedang dalam fasa pengembangan di bawah Menara Jam Diraja Mekah, bangunan ketiga tertinggi di dunia.

Sudah bertahun kerja-kerja pembinaan masih diteruskan ke atas pembesaran 400,000 meter persegi Masjid Utama bagi membolehkan ia memuatkan kira-kira 2.2 juta orang pada satu-satu masa.