Iktiraf catatan 10.20s saya di Bangkok – Watson

Iktiraf catatan 10.20s saya di Bangkok – Watson

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Pemegang rekod 100 meter kebangsaan, Watson Nyambek menuntut Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengiktiraf catatan 10.20s yang pernah dicatatkan pada peringkat separuh akhir di Sukan Asia, Thailand pada tahun 1998 supaya berlaku adil terhadapnya, menurut laporan BH Sukan, hari ini.

Permintaan itu walaupun pelik, dia mengakui KOM perlu adil menangi isu ‘rekod baharu’ milik Badrul Hisyam Abdul Manap 10.29 saat yang dirakam di kejohanan Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN (ASG), Bandar Sri Begawan, Brunei.

Watson, 40, yang juga bekas jaguh pecut negara berkata catatan 10.20s tidak mendapat pengiktirafan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) ekoran bantuan angin sekali gus catatan itu bagaikan dilupakan begitu sahaja.

“Kalau KOM iktiraf rekod 100 meter Badrul di Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN (ASG), Bandar Sri Begawan, Brunei, mereka juga perlu berlaku adil dengan mengiktiraf catatan 10.20s milik saya pada tahun 1998 di Bangkok, Thailand.

“Masa itu kelajuan itu pun tidak dapat diiktiraf kerana tidak mengikut spesifikasi IAAF. Kalau KOM iktiraf Badrul macam mana dengan catatan itu?,” kata Watson ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Dalam perkembangan sama jurulatih olahraga bagi pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak itu berkata dia pernah mencatatkan kepantasan 10s di Terbuka Vietnam pada tahun 1998, bagaimanapun pada ketika itu catatan masa hanya menggunakan ‘hand timer’ serta tiada alat pengukur angin.

“Bagi saya apa terjadi terhadap Badrul adalah salah di pihak Brunei tapi apa pun KOM perlu memberikan keputusan yang tepat,” katanya.

Sebagai rekod, Badrul iaitu atlet dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) mengejutkan dunia olahraga apabila mencatatkan kepantasan 10.29s di ASG Brunei November tahun lalu sekali gus mengatasi rekod 10.30 milik Watson yang bertahan selama 17 tahun.

Bagaimanapun catatan Badrul dikatakan tidak mengikut spesifikasi IAAF apabila alat pengukur angin tidak berada di garisan 50m selain tiada bukti rakaman gambar garisan penamat, di mana kedua-dua itu wajib untuk mendapat pengiktirafan IAAF.

Hal itu menyebabkan KOM bersama Majlis Sukan Negara mengadakan mesyuarat bersama Jawatankuasa Kerja MSN dan memutuskan pencatat kepantasan 10.30s masih kekal sebagai pemegang rekod kebangsaan 100m negara sehingga satu keputusan rasmi diumumkan KOM.