Ikut jejak peneroka awal

Ikut jejak peneroka awal

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Para pelajar yang terpilih sebagai penerima Biasiswa Usaha Sama Syarikat Minyak Shell (BSJV) disarankan supaya mengikut jejak para jurutera terawal era penerokaan minyak dan gas di negara ini yang cekal pendirian bahawa tiada sebarang cabaran boleh menghalang mereka daripada mencapai matlamat yang dikejar.

Mereka diharap dapat memberikan tumpuan dan inovasi sepenuhnya kepada matlamat cita-cita sama seperti kumpulan jurutera, pakar sains dan peneroka yang bertungkus-lumus meredah hutan dan paya di negara ini dalam usaha untuk mencari sumber minyak dan gas yang berharga itu.

Saranan itu disuarakan oleh Timbalan Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Haji Kamaluddin bin Haji Bungsu ketika berucap pada Majlis Menandatangani Anugerah Biasiswa BSJV kepada 42 pelajar tempatan, yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Jerudong Polo and Riding Club, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar.

pg09_150911_b

Haji Kamaluddin menyampaikan ucapan alu-aluan.
Haji Kamaluddin menyampaikan ucapan alu-aluan.
Tetamu kehormat (tengah) bergambar bersama semua penerima biasiswa dan ibu bapa mereka.
Tetamu kehormat (tengah) bergambar bersama semua penerima biasiswa dan ibu bapa mereka.

Beliau kemudiannya telah menjadi saksi pada upacara menandatangani perjanjian biasiswa antara para pelajar terpilih dan Haji Kamaluddin yang mewakili BSJV.

Antara yang turut hadir ialah Naib Canselor Institut Teknologi Brunei (ITB), Profesor Madya Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Andrew Faulkner dan Ketua Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Haji Ibrahim bin Haji Bagol.

Daripada 42 pelajar yang menerima biasiswa itu, sembilan orang akan melanjutkan pengajian mereka di ITB, tiga lagi akan melanjutkan pengajian di Australia dan selebihnya akan memasuki beberapa universiti di United Kingdom.

Haji Kamaluddin dalam ucapannya berkata, sejak 1972, syarikat itu menawarkan biasiswa kepada para pelajar tempatan yang cemerlang kerana percaya bahawa negara ini perlu melahirkan golongan profesional dan pakar untuk memajukan negara ini.

“Cara terbaik untuk menjamin masa depan negara ini ialah dengan melabur dalam intelek anak tempatan melalui pembelajaran dan latihan kerana aset negara yang paling berharga bukannya hasil bumi negara, sebaliknya memiliki golongan remaja yang cemerlang dan bijak,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dengan melabur ke arah golongan remaja pada hari ini diharap dapat menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya dapat menyokong kemajuan ekonomi dan memberi peluang kepada anak tempatan untuk menjadi pekerja dan pemimpin.

Beliau menegaskan, dengan melahirkan pemimpin anak tempatan negara akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang dapat menyumbang kepada pendapatan negara serta pekerjaan bagi membasmi pengangguran.

Haji Kamaluddin juga mengingatkan para penerima biasiswa bahawa laluan yang harus mereka tempuhi ke mercu kejayaan tidak selalunya lancar, sebaliknya dipenuhi pelbagai cabaran.

Namun, ramai penerima biasiswa seperti mereka telah mencapai kejayaan dalam menjadi jurutera, pakar sains dan pemimpin yang ulung.

Beliau mengingatkan para penerima biasiswa supaya sentiasa ingat yang mereka dipilih menerima biasiswa BSJV kerana kecemerlangan dalam akademik dan nilai keperibadian yang tinggi.

Turut diraikan pada majlis itu ialah 10 pelajar penerima biasiswa serupa yang telah menamatkan pengajian mereka di peringkat program Ijazah Sarjana Muda dengan mendapat kepujian kelas pertama dalam jurusan masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA