Ikuti sunnah Rasulullah

Ikuti sunnah Rasulullah

Oleh Haslen

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Cara mendapatkan rahmat daripada Allah S.W.T adalah dengan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W dan menjadikan Baginda sebagai orang yang paling kita sayangi.

Manakala itu, cara untuk mencintai Baginda ialah dengan mengetahui sifat-sifat Baginda itu dari segi fizikal dan akhlaknya, jelas Pemangku Rae’s Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Menurut beliau, antara sifat fizikal Baginda seperti yang diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W mempunyai bentuk badan tidak juga tinggi dan tidak juga rendah, (sederhana) sebagaimana biasanya orang Qurayis.

Manakala kulit baginda tidak juga putih dan tidak juga hitam, sementara pipinya merah, dan rambut baginda sedikit keriting dan ada yang mengatakan bahawa uban Baginda itu tidak sampai 20 helai dan gigi Baginda itu putih bagaikan mutiara bersusun.

Dr. Haji Adanan ketika menyampaikan ceramah agama sempena sambutan Maulidur Rasul.
Dr. Haji Adanan ketika menyampaikan ceramah agama sempena sambutan Maulidur Rasul.
Antara tetamu yang hadir pada majlis yang berlangsung di Masjid Perdana Wangsa Haji Muhammad Kampung Setia, Mukim Sungai Kebun.
Antara tetamu yang hadir pada majlis yang berlangsung di Masjid Perdana Wangsa Haji Muhammad Kampung Setia, Mukim Sungai Kebun.

Beliau menekankan perkara ini menyampaikan ceramah agama sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W dan Majlis Doa Kesyukuran atas kejayaan Pasukan Saudara Ku Gabungan Kampung Setia A & B dan Belia AKSE Bersatu dalam pertandingan Perhimpunan Perarakan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi Tahun 1437/2015 yang berlangsung di Masjid Perdana Wangsa Haji Muhammad Kampung Setia, Mukim Sungai Kebun, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penghulu Mukim Sungai Kebun, Pateh Dato Paduka Haji Masri bin Mail.

Dr. Haji Adanan seterusnya menjelaskan, antara kelebihan Rasulullah S.A.W adalah Baginda memiliki keringat (peluh) dan nafas tidak berbau malahan berbau harum dan Baginda suka memakai harum-haruman dan suka bercincin, di mana cincin Baginda itu dipakai sebelah kanan (jari kelingking) dan dijadikan sebagai cap mohor dalam persuratan.

Sementara itu, antara sifat akhlak Rasulullah S.A.W adalah Baginda tidak pernah marah dan tidak pernah membela diri Baginda sendiri dan tidak camah mata serta suka menolong orang lain.

Menurut beliau lagi, Baginda juga sangat mementingkan kesihatan dan suka minuman seperti air, susu, madu dan minuman manisan.

Oleh itu, beliau menyeru supaya mengikut cara kehidupan Baginda itu dan menjadikannya sebagai kurikulum sekolah.

Terdahulu daripada itu, Pengerusi Majlis, Haji Jalil bin Haji Mail semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata majlis berkenaan bertujuan untuk sama-sama memeriahkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W.

Selain itu ia juga sebagai rasa tanda melahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas kemenangan pasukan Saudara Ku Gabungan Kampung Setia A dan B dalam perhimpunan dan perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W peringkat Negara yang telah diadakan pada 24 Disember 2015 yang lalu.

Menurut beliau, dengan menduduki tempat ketiga, pasukan itu telah menerima hadiah wang tunai berjumlah $2,000, sebuah trofi dan sijil penyertaan.

Majlis telah dimeriahkan lagi dengan laungan Dikir Marhaban oleh ahli-ahli jawatankuasa dan Ahli-ahli Saudara Ku Kampung Setia yang diketuai oleh Haji Nipah@Ariffin bin Haji Hassan, dan bagi memberkati majlis doa kesyukuran dan doa selamat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Jafar bin Haji Ibrahim.

ARTIKEL YANG SAMA