Illinois beri hak bersuara kepada warganegara Islam

Illinois beri hak bersuara kepada warganegara Islam

SPRINGFIELD, 21 Jun (AP) – Illinois menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat dengan undang-undang yang memberikan hak bersuara kepada warganegara yang beragama Islam dalam kerajaan negeri.

Akhbar Chicago Tribune melaporkan, rang yang diluluskan perundangan akan mewujudkan Majlis Penasihat Islam Amerika Illinois seramai 21 anggota. Ia cuma menantikan tandatangan Gabenor Republikan, Bruce Rauner.

Pejabat gabenor berkata, beliau sedang meneliti rang itu. Anggota majlis akan dilantik oleh gabenor dan pemimpin perundangan. Pemimpin islam berkata, ia menjadi mesej baik kepada umat Islam di negara itu.

Peguam Chicago, Kareem Irfan, yang mengetuai versi terdahulu majlis itu ketika pentadbiran Gabenor Pat Quinn, berkata memilik institusi berpanjangan adalah baik bagi membolehkan komuniti tidak menjadi subjek kepada kehendak setiap gabenor.

“Memandangkan salah anggap mengenai Islam dan kepentingan serta kebimbangan komuniti Islam Amerika, hampir menjadi kewajipan bagi pihak gabenor negeri ini dan semua gabenor memiliki majlis seperti ini,” kata Irfan.

Senator Demokratik, Jacqueline Collins, yang turut menyokong rang itu, berkata beliau berharap majlis itu menjadi yang pertama daripada banyak usaha untuk memastikan gabenor mempertimbangkan pandangan kumpulan minoriti.