Imam Besar ko...

Imam Besar kongsi pengetahuan melalui Program Interaktif Al-Quran

KOTA KINABALU, 18 April – Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Shaikh Ismail Muhammad hari ini berkongsi kemahiran dan pengetahuannya dalam aspek penguasaan bacaan al-Quran dengan kira-kira 150 imam dan pegawai masjid di Sabah.

Program sehari yang dinamakan Interaktif Al-Quran itu dilaksanakan melalui kerjasama pintar antara Masjid Negara, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) bertujuan meningkatkan kualiti dan penguasaan bacaan Al-Quran dalam kalangan imam dan pegawai masjid.

“Penguasaan bacaan Al-Quran sesuai dengan kedudukan imam yang dipandang tinggi di mata masyarakat. Kita melihat bahawa kemahiran dan penguasaan bacaan Al Quran para imam merupakan perkara pokok yang perlu dititik beratkan. “Kualiti bacaan seseorang imam itu dijadikan kayu pengukur dan memberi gambaran imej profesionalisme seseorang imam,” kata Shaikh Ismail ketika berucap pada majlis penutupan program yang diadakan di Masjid Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sabah Mat Radzi Mat Ali.

Beliau menyarankan para imam agar sentiasa berusaha mempertingkat kualiti bacaan dari semasa ke semasa dan berharap program Interaktif Al-Quran berkenaan boleh membantu mereka meningkatkan kualiti bacaan. – Bernama