Imam mainkan peranan penting

Imam mainkan peranan penting

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Pegawai masjid atau imam memainkan peranan sebagai pentadbir masjid atau pemimpin masyarakat di mana kepimpinan yang dinamik boleh mewujudkan masyarakat atau jemaah yang dipimpin dengan nilai dan kepercayaan.

Nilai dan kepercayaan bukanlah mudah untuk diperoleh tanpa adanya sifat kepimpinan, usaha gigih, perlaksanaan tugas dan peranan imam bagi memakmurkan masjid dan jemaah sekeliling.

Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof berkata demikian semasa menyampaikan ucapan nasihat pada sesi Muzakarah Pegawai-Pegawai Masjid Seluruh Negara sempena Sambutan Awal Tahun Baru Hijrah 1438, hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau seterusnya menambah, perkara itulah yang perlu diambil perhatian melalui lensa permuzakarahan pegawai masjid seluruh negara dan dengan permuzakarahan ini, pegawai masjid khasnya diharap akan mempunyai ciri kepimpinan yang dimaksudkan dengan mengadaptasikan peranan sebagai seorang imam yang berwibawa dan disegani oleh masyarakat.

Mengulas mengenai isu berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran masjid khususnya dalam menubuhkan jawatankuasa takmir masjid, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menegaskan bahawa masih terdapat masjid yang belum menubuhkan jawatankuasa takmir yang sepatutnya bekerjasama dalam mentakmirkan masjid dengan cemerlang.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz memberi kata nasihat pada sesi muzakarah bersama pegawai masjid seluruh negara.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz memberi kata nasihat pada sesi muzakarah bersama pegawai masjid seluruh negara.

Dalam perkara ini, beliau menyarankan pegawai masjid khususnya ketua iman supaya menubuhkan jawatankuasa takmir pada setiap dua tahun seperti yang terkandung dalam buku Panduan Kerja Pegawai-Pegawai Masjid 1996.

Selain itu, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz turut menyentuh mengenai Tabung Kewangan Masjid yang perlu diperkemaskan kerana didapati sebilangan kecil pegawai masjid masih belum mengikuti sepenuhnya peraturan kewangan masjid.

Beliau juga percaya bahawa dengan usaha berterusan daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Bahagian Audit Dalaman Kementerian Hal Ehwal Ugama, ia dapat membuat pemantauan berterusan supaya pegawai masjid sentiasa peka dengan garis panduan kewangan masjid yang digariskan.

Sementara itu, dari sudut ‘riayah’ atau pemeliharaan masjid, beliau berkata ia juga menjadi isu penting yang mana ia perlu dipertingkatkan bagi menjaga keselesaan jemaah yang beribadat di rumah Allah seperti menjaga kebersihan ruang sembahyang, tempat berwuduk dan bilik air.

“Dengan suasana kondusif dan tenang ini akan wujud persekitaran sakinah dan mawaddah dalam kalangan jemaah masjid di samping mengamalkan konsep berjimat cermat dalam penggunaan elektrik,” tambahnya.

Melihat kepada tugas dan tanggungjawab imam, menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab dan peranan seorang imam terutama dalam membina pembangunan dan kesejahteraan ummah dengan menjadikan masjid sebagai tempat pusat pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan sama ada berbentuk duniawi atau ukhrawi.

Beliau seterusnya menegaskan, agar jangan membiarkan masjid, surau atau balai ibadat sepi tanpa aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di dalamnya.

Menurutnya lagi, terdapat juga beberapa buah masjid di negara ini yang bergiat aktif dengan mempelbagaikan pengajian atau kuliah di masjid.

“Peranan imam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam mengimarahkan masjid masa kini perlu mempunyai konsep menyeluruh yang bukan hanya menjadikan masjid sebagai tempat sujud atau beribadat tetapi sebagai tempat yang mempunyai pelbagai fungsi.

“Ini seperti menjadikan masjid sebagai institusi pembelajaran, pendidikan dan pembangunan yang semakin diperlukan terutama dalam abad yang mencabar ini,” tambahnya.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz seterusnya menjelaskan, imam merupakan tenaga terpenting dan penjaga kemakmuran sesebuah institusi masjid dalam menjayakan pentadbirannya sebagaimana peranan seorang penghulu di sebuah mukim atau peranan guru di institusi pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA