Imam mati, renjer cedera dalam keganasan di Pattani

Imam mati, renjer cedera dalam keganasan di Pattani

PATTANI, 6 Sept (Bernama) – Seorang imam sebuah masjid mati ditembak semalam sementara empat anggota pasukan renjer Thailand cedera parah terkena letupan bom hari ini, dalam keganasan yang masih berlaku di selatan Thailand.

Kata Pol.Kol.Kampol Pollapakdee, Ketua Polis Daerah Kapor, Pattani berkata imam Masjid Kg.Payo, Mukim Kadunung, Saiburi, dikenali sebagai Deraman bin Chewan, mati ditembak oleh dua lelaki bermotosikal pada 8.30 pagi.

Deraman, 76, cedera parah ditembak lima kali dengan pistol di badan dan kepala dan kemudian meninggal dunia di hospital Saiburi.

Kejadian berlaku ketika imam itu menaiki motosikal untuk membeli makanan pagi di sebuah kedai di kampung tersebut.

Dia pernah ditembak pada 2013 dan cedera parah.

Sementara itu, keempat-empat anggota renjer berkenaan cedera di badan dan kepala akibat serangan bom buatan sendiri seberat 100 kilogram yang meletup di Jalan Kapor-Saiburi, di Kampong Teluk Deraman, Daerah Kapor.

Beliau berkata pasukan renjer tersebut dalam perjalanan pulang daripada mesyuarat petang tadi dan bom diletupkan apabila mereka tiba di tempat kejadian.

Trak pikap yang digunakan mereka tercampak sejauh 10 meter dan musnah teruk, tambah beliau.

Beliau berkata pihak polis berjaya mengesan dua lagi bom yang tidak meletup di kawasan yang sama, masing-masing seberat 50 kilogram.

Satu daripadanya dipasang dalam tong gas memasak dan satu lagi dalam paip yang diletak atas motosikal yang diubahsuai dan ditinggalkan di tepi jalan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA