Imarahkan Ramadan dengan Khatam Al-Quran

Imarahkan Ramadan dengan Khatam Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai – Sebanyak tiga kumpulan terdiri daripada ahli Jawatankuasa Tadbir, pemimpin, pemimpin muda, Renjer Puteri dan Pandu Puteri menyelesaikan bacaan 30 Juz Al-Quran bagi kumpulan masing-masing di Majlis Khatam Al-Quran Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD)hari ini.

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPBD, Anggrek Desa itu merupakan salah satu kegiatan persatuan yang antara lain bertujuan untuk menyambut dan mengimarahkan bulan Ramadan selain memupuk budaya membaca Al-Quran di kalangan ahli persatuan dan mendidik ahli persatuan dari aspek kerohanian.

Di majlis itu, bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai dan doa khatam Al-Quran diketuai oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani. Persembahan dikir marhaban dibawakan oleh Jawatankuasa Tadbir dan Pemimpin.

Majlis diteruskan dengan bacaan tahlil dan surah Yasin bagi Almarhum Begawan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Almarhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan diikuti sembahyang Zohor berjemaah.

Antara yang hadir di majlis itu, Naib Yang Dipertua Sepanjang Hayat PPPBD, Ketua Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya dan ahli PPPBD.

Antara ahli-ahli PPPBD ketika menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di ibu pejabat PPPBD di Anggrek Desa.
Antara ahli-ahli PPPBD ketika menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di ibu pejabat PPPBD di Anggrek Desa.