Imbangan dagangan catat $417.8 juta

Imbangan dagangan catat $417.8 juta

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Negara Brunei Darussalam mencatatkan imbangan perdagangan sebanyak $417.8 juta bagi bulan Julai 2016 dengan jumlah eksport bernilai $677.9 juta, manakala import bernilai $260.1 juta.

Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) Julai 2016 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), eksport bahan api galian mencatat sumbangan tertinggi bernilai $472.6 juta daripada jumlah eksport diikuti oleh bahan-bahan kimia bernilai $168.7 juta dengan jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 26.5 juta.

Eksport utama negara pada Julai yang mencatatkan sumbangan bernilai 472.6 juta terdiri daripada minyak mentah berjumlah 218.6 juta dan gas cecair asli sebanyak $254 juta.

Dalam imbangan dagangan negara ini, Jepun merupakan pasaran eksport terbesar dengan menyumbang kepada 26.1 peratus daripada jumlah eksport, diikuti Singapura (24.3 peratus), India (10.6 peratus) dan Australia (8.6 peratus).

Import barangan ke negara ini menurun sebanyak 22.9 peratus daripada 337.3 juta pada Jun kepada 260.1 juta pada Julai. Import utama mengikut import barangan adalah jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak $96.4 juta, diikuti import barangan keluaran kilang sebanyak $50.8 juta dan import makanan sebanyak 40.1 juta.

Import barangan perantaraan pula mencatatkan nilai sebanyak 58.3 peratus daripada jumlah import, diikuti import barangan modal dan barang penggunaan masing-masing sebanyak 32.9 peratus dan 8.7 peratus.

Sementara itu, import terbesar Negara Brunei Darussalam adalah dari Malaysia dengan catatan sebanyak 20.7 peratus daripada jumlah import, diikuti dari China (18.1 peratus), Singapura (16.1 peratus) dan Amerika Syarikat (8.1 peratus).

IMTS bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘Sistem Am’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi bulan Julai 2016 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA