Imbangan perdagangan $283.1 juta pada September

Imbangan perdagangan $283.1 juta pada September

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Imbangan Perdagangan Brunei Darussalam bagi bulan September 2016 adalah sebanyak $283.1 juta di mana daripada jumlah tersebut, $548.4 juta adalah daripada jumlah eksport dan $265.3 juta adalah nilai jumlah import.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini mengatakan, eksport Bahan Api Galian pula mencatatkan sumbangan tertinggi sebanyak 90.6 peratus iaitu bersamaan dengan $497.1 juta daripada jumlah eksport diikuti oleh Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan dan Bahan-Bahan Kimia masing-masing menyumbangkan 5.7 peratus dan 1.6 peratus.

Manakala eksport domestik utama negara adalah $497.1 juta yang terdiri daripada Minyak Mentah berjumlah $242.8 juta dan Gas Cecair Asli (LNG) $254.3 juta.

Pasaran eksport terbesar merupakan negara Jepun dengan 29.8 peratus daripada jumlah eksport, diikuti India mencatat sebanyak 13.9 peratus, Singapura sebanyak 12.6 peratus dan Thailand 10 peratus. Menurut kenyataan itu lagi, pada September 2016, import barangan menurun sebanyak 16.6 peratus daripada $318.0 juta pada Ogos 2016 kepada $265.3 juta.

Import utama mengikut import barangan adalah Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan sebanyak $78.3 juta dan diikuti import bagi Barang-Barang Keluaran Kilang sebanyak $51.0 juta dan Makanan $50.1 juta.

Mengikut Kategori Penggunaan Akhir, import bagi Barang Perantaraan mencatatkan sebanyak 61.4 peratus daripada jumlah import diikuti import Barang Modal dan Barang Penggunaan masing-masing dengan 28.9 peratus dan 9.7 peratus.

Manakala mengikut negara asal pula, import terbesar adalah dari Singapura sebanyak 23 peratus daripada jumlah import, diikuti oleh Malaysia sebanyak 22.7 peratus kemudian China sebanyak 13.5 peratus dan Amerika Syarikat mencatat sebanyak 9.5 peratus.

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (International Merchandise Trade Statistics, IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula yang mana laporan penuh IMTS bagi September 2016 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.