Imbangan Perdagangan Brunei catat $264.1 juta

Imbangan Perdagangan Brunei catat $264.1 juta

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Imbangan Perdagangan Brunei Darussalam bagi bulan Februari 2016 adalah sebanyak $264.1 juta. Manakala eksport pula bernilai $504.8 juta dan import bernilai $240.7 juta.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini menyatakan Eksport Bahan Api Galian mencatatkan sumbangan tertinggi bernilai $468.3 juta daripada jumlah eksport diikuti oleh Bahan-Bahan Kimia bernilai $14.9 juta dan Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan sebanyak $11.4 juta.

Manakala eksport utama negara mencatatkan $468.3 juta yang terdiri daripada Minyak Mentah berjumlah $174.3 juta dan Gas Cecair Asli (LNG) sebanyak $294.0 juta.

Bagi pasaran eksport terbesar, Negara Jepun telah menyumbang dengan 34.7 peratus daripada jumlah eksport, diikuti oleh Republik Korea (25.9 peratus), Malaysia (11.2 peratus) dan Taiwan (8.1 peratus).

Menurut JPKE, import barangan menurun sebanyak 37.3 peratus daripada $384.1 juta (Januari 2016) kepada $240.7 juta pada bulan Februari 2016. Ini disebabkan oleh penurunan dalam import Bahan Api Galian (77.1 peratus), Pelbagai Urusniaga (63.6 peartus) dan Barang-Barang Keluaran Kilang (53.0 peratus).

Sementara itu, import terbesar adalah dari Malaysia sebanyak 21.3 peratus daripada jumlah import, diikuti Singpaura (17.3 peratus), China (13.3 peratus) dan Amerika Syarikat (9.9 peratus).

Perangkaan daripada Perdagangan Barangan Antarabangsa (International Merchandise Trade Statistics, IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi Februari 2016 boleh didapati melalui laman web JPKE di www.depd.gov.bn.