Imbangan perdagangan catat $142.3 juta

Imbangan perdagangan catat $142.3 juta

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Imbangan Perdagangan Brunei Darussalam adalah sebanyak $142.3 juta bagi bulan Ogos 2016 di mana jumlah eksport bernilai $460.3 juta manakala import bernilai $318 juta.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekomoni (JPKE) dalam kenyataannya hari ini berkata, eksport Bahan Api Galian mencatatkan sumbangan tertinggi bernilai $386.4 juta dari jumlah eksport dan diikuti oleh Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan $40.9 juta dan Bahan-Bahan Kimia $21.7 juta.

Eksport utama negara pula mencatat $386.4 juta yang terdiri dari Minyak Mentah berjumlah $159.4 juta dan Gas Cecair Asli (LNG) $227 juta yang mana pasaran eksport terbesar adalah negara Jepun dengan 43.8 peratus dari jumlah eksport, diikuti oleh Thailand 15.9 peratus, India 15.8 peratus dan Taiwan 5.9 peratus.

Pada Ogos 2016, Import barangan meningkat sebanyak 22.3 peratus dari $260.1 juta pada Julai 2016 kepada $318 juta.

Manakala import utama mengikut import barangan adalah Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan sebanyak $129.1 juta dan diikuti oleh import bagi Barang-Barang Keluaran Kilang $46.6 juta dan Makanan $45.7 juta.

Import bagi Barang Perantaraan mencatatkan sebanyak 58.1 peratus dari jumlah import dan diikuti oleh import Barang Modal dan Barang Penggunaan masing-masing dengan 33.1 peratus dan 8.8 peratus.

Sementara import terbesar adalah dari negara Malaysia sebanyak 21.4 peratus dari jumlah import, diikuti oleh Amerika Syarikat 17.8 peratus, Singapura 17.5 peratus dan China 10.6 peratus.

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi Ogos 2016 boleh didapati melalui laman web JPKE di www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA