Imbangan perdagangan catat AS$190 juta

Imbangan perdagangan catat AS$190 juta

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Negara Brunei Darussalam mencatatkan imbangan perdagangan sebanyak AS$190.9 juta pada bulan Mei yang mana jumlah eksport bernilai AS$505.1 juta manakala import bernilai AS$314.2 juta.

Sementara nilai eksport bahan api galian mencatatkan sumbangan tertinggi bernilai AS$442 juta dari jumlah eksport diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan AS$29.6 juta dan bahan-bahan kimia AS$17.5 juta.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menjelaskan eksport utama negara mencatatkan AS$441.9 juta yang terdiri daripada minyak mentah berjumlah AS$219.0 juta dan gas cecair asli (LNG) AS$222.9 juta. Pasaran eksport terbesar adalah negara Jepun dengan 37.3 peratus dari jumlah eksport, diikuti oleh India iaitu 15.7 peratus, Malaysia 10.7 peratus dan China sembilan peratus.

Import barangan pula menurun sebanyak 0.7 peratus daripada AS$316.4 juta pada bulan April 2016 kepada AS$314.2 juta pada bulan Mei 2016.

Manakala jentera dan kelengkapan pengangkutan mencatatkan sumba-ngan tertinggi bernilai AS$109.2 juta dari jumlah import, diikuti oleh barang-barang keluaran kilang sebanyak AS$58.1 juta dan makanan AS$55 juta.

Sementara, import terbesar adalah dari negara Malaysia sebanyak 23.9 peratus dari jumlah import dan ini diikuti oleh Singapura sebanyak 16.9 peratus, China sebanyak 16.8 peratus dan Amerika Syarikat iaitu sebanyak 7.8 peratus. Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (International Merchandise Trade Statistics, IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

ARTIKEL YANG SAMA