Imbangi akhirat dan duniawi

Imbangi akhirat dan duniawi

Oleh Normazlina M.D & Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov –Wanita yang unggul bukanlah daripada golongan ekstrem atau pelampau, bukan juga daripada kalangan pengabai atau ‘inda ingau,’ mereka mestilah mengambil pendekatan wasatiah atau pertengahan daripada kedua-duanya.

Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Masnooraini binti Haji Mohiddin mendefinisikan istilah wanita unggul itu ketika menyampaikan ceramah perdana bertajuk ‘Wasatiah Membentuk Keunggulan Wanita’ di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat mendengarkan ceramah tersebut dan melawat pameran di Majlis Ilmu. Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah,Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Dalam ceramahnya itu juga, Dr. Hajah Masnooraini mengatakan keunggulan wanita pada zaman dahulu dinilai daripada pengorbanan mereka memperjuangkan agama Islam serta ketaatan mereka terhadap Allah dan juga RasulNya sebagaimana yang banyak dikisahkan kehebatan mereka melalui hadis-hadis.

Dr Hajah Masnooraini ketika menyampaikan ceramah perdana.
Dr Hajah Masnooraini ketika menyampaikan ceramah perdana.

Beliau turut mengongsikan kisah Sumayah, wanita Islam pertama yang gugur syahid kerana mempertahankan keimanannya.

Menurutnya lagi, keunggulan wanita masa kini dilihat dan dinilai dari sudut berbeza, iaitu mengimbangi tuntutan akhirat dan keperluan duniawi. Secara realitinya, agak sukar untuk menjadi wanita unggul atau hebat kerana mereka harus bijak membahagikan masa untuk kerjaya dan rumahtangga, memberikan pendidikan dan memastikan kesejahteraan keluarga yang mana merupakan tanggungjawab utama sebagai ibu.

“Wanita yang unggul dari sudut kaca mata Islam ialah wanita yang mampu mengimbangi antara kepentingan sendiri dan kemaslahatan keluarga serta berusaha untuk mencapai yang terbaik dalam usaha melahirkan keluarga sakinah, mawadah dan rahmah, seterusnya mendorong ke arah mewujudkan masyarakat Islam wasatiah terbaik yang memperakui kenikmatan syurga dunia namun tidak mengabaikan syurga abadi di akhirat,” katanya.

Apa yang penting, walaupun keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu bukanlah sesuatu perkara yang mudah, namun jika ada toleransi serta sokongan daripada semua pihak, pendekatan wasatiah boleh membentuk acuan dan ciri-ciri keunggulan wanita itu sendiri, tambahnya mengakhiri ceramah.

Dr. Hajah Masnooraini mempunyai pengalaman membentangkan kertas kerja di dalam dan luar negara, antaranya kertas kerja ‘Status Anak Tak Sah Taraf Mengikut Perundangan Islam’ dalam Seminar Tahunan Keluarga Anjuran Universiti Brunei Darussalam (UBD); ‘Pemakaian Mazhab Shafi’e dalam Muamalat Islam: Analisis Terhadap Amalan Perundangan dan Fatwa di Malaysia dan Brunei’; ‘Waqf Institution in Minority Muslim Country: Singapore’s Experience’ di Prince of Songkla University, Thailand; dan ‘Perlaksanaan Wasatiyah dalam Pendidikan di Brunei Darussalam: Isu dan Cabaran’ anjuran Prince of Songkla University, Thailand (Kertas Kerja bersama Dayang Norasiah Haji Amai).

ARTIKEL YANG SAMA