Imbangi antara hak asasi manusia dan keselamatan negara

Imbangi antara hak asasi manusia dan keselamatan negara

KUCHING, 4 Sept (Bernama) – Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013 mengandungi elemen mengimbangi antara hak asasi manusia dan kepentingan keselamatan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata peruntukan dalam POTA dan POCA yang mengundang perdebatan adalah elemen tahanan tanpa bicara yang dikatakan sebagai jelmaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun hakikatnya ia adalah berbeza sama sekali.

Menurutnya jika sebelum ini, ISA mengundang tohmahan bahawa kuasa Eksekutif Menteri disalahgunakan bagi mengeluarkan perintah tersebut, POTA dan POCA memperuntukkan Lembaga Pencegahan Jenayah yang mana ahlinya dilantik Yang di-Pertuan Agong, untuk membuat keputusan mengenainya.

“Perlu diingatkan di sini bahawa, undang-undang menentang keganasan yang diperkenalkan di Parlimen ini bukan berhajat menceroboh hak asasi rakyat, tetapi bertujuan menjaga keselamatan rakyat dan negara,” katanya.

“Pengenalan POTA dan POCA ini adalah pendekatan yang berbentuk perundangan bagi membendung penglibatan rakyat Malaysia dengan kumpulan pengganas yang jauh menyimpang daripada makna perjuangan sebenar,” katanya.

Nancy berkata demikian dalam ucaptama pada Seminar Kelestarian Keselamatan Negara bertajuk ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’ anjuran Institut Tadbiran Awam Negara secara kolaboratif bersama Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, di sini hari ini.