Imbau detik bersejarah WWII

Imbau detik bersejarah WWII

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

Gambar oleh Bahiyah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Para penggemar sejarah di negara ini akan dapat mengimbas detik-detik bersejarah Perang Dunia ke-2 (WWII) dengan pameran Stories Through Memories, 70 Years of Friendship yang mempamerkan gambar-gambar dan cerita daripada orang-orang lama yang melalui zaman berkenaan, bermula 12 hingga 30 Jun depan.

Pengamal media tempatan diberi peluang untuk menyaksikan pameran yang diadakan di Galeri Dermaga Diraja itu menerusi pratonton media, hari ini.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer, semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata pameran itu bukan saja menjadi peluang untuk mempelajari sejarah malah menjadi landasan pendidikan bagi penggemar sejarah.

Oleh itu, beliau mengalu-alukan orang ramai untuk menyaksikan pameran berkenaan apabila ia dibuka nanti, di mana pensyarah-pensyarah dan ahli jawatankuasa pameran akan berada di situ menceritakan mengenainya.

Pameran ini diadakan bersempena ulang tahun ke-70 pendaratan angkatan Australia ke Borneo bagi membebaskan pulau ini daripada jajahan Jepun semasa Perang Dunia ke-2.

Salah satu gambar bersejarah yang dipaparkan dalam pameran berkenaan.
Salah satu gambar bersejarah yang dipaparkan dalam pameran berkenaan.

Sempena pameran itu juga, siri seminar akan diadakan pada 11 Jun ini di galeri berkenaan, yang akan menampilkan pakar sejarah dan Pensyarah Kanan Operasi Ketenteraan, Universiti Kebangsaan Australia, Dr Grath Pratten;

Seminar itu hanya dibukakan kepada mereka yang berdaftar dan jika berminat hendaklah menghubungi Suruhanjaya Tinggi Australia di e-mel austhicom.brunei@dfat.gov.au untuk keterangan lanjut mengenainya memandangkan penyertaan adalah terhad.

Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam juga menyampaikan penghargaan kepada UBD, James Cook University, Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Jabatan Hal Ehwal Veteran Australia (DVA) dan Memorial Perang Australia atas sokongan berterusan mereka bagi acara tersebut.

Sementara itu, Dr Janet Marles dalam taklimatnya bersama media juga menjelaskan mengenai proses penyelidikan mereka, yang menurutnya, mendengarkan kisah-kisah kenangan bersama saksi perang dunia berkenaan yang masih hidup, menjadikan kajian sejarah mereka bertambah menarik.

TYT Todd Mercer ketika menyampaikan ucapannya.
TYT Todd Mercer ketika menyampaikan ucapannya.
RBAF Staff College sitting for a seminar conducted by Dr Garth Pratten.
RBAF Staff College sitting for a seminar conducted by Dr Garth Pratten.

Katanya, mereka bukan sahaja belajar perkara yang baru tetapi enam pelajar yang membuat penyelidikan ini merasa sangat beruntung kerana berpeluang mengetahuinya lebih mendalam lagi, lebih-lebih ada di antara mereka adalah saudara mara dan nenek mereka sendiri.

“Kini, ada enam pelajar lagi yang mengikuti penyelidikan ini dan kami menggelarkan pelajar fasa kedua dan para pelajar ini akan terus berkembang dan sejarah ini akan terus diingati,” ujarnya lagi.

Sempena ulang tahun pendaratan ini juga, seramai lapan veteran tentera Australia berusia 89-96 tahun kini dibawa mengelilingi Borneo tempat mereka pernah bertempur tujuh dekad lalu.

Veteran-veteran Australia berkenaan akan pergi ke Labuan esok (9 Jun) setelah berkunjung ke Balikpapan dan Tarakan, kemudian kembali ke Brunei bagi acara pelancaran pameran berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA