Imej satelit bukti Pyongyang tingkat kapasiti uranium

Imej satelit bukti Pyongyang tingkat kapasiti uranium

SEOUL, 13 Ogos – Gambar satelit baru menunjukkan Korea Utara sedang meningkatkan kapasiti pengeluaran uranium, kemungkinan dengan tujuan untuk menambah simpanan stok bahan boleh belah gred senjata, menurut pakar pengawalan senjata nuklear terkenal.

Gambar menunjukkan Pyongyang telah mula membersihkan sebuah kilang besar yang mengubah bijih uranium kepada uranium mentah, langkah pertama ke arah penghasilan uranium, kata Jeffrey Lewis, pakar kawalan senjata di Institut Kajian Antarabangsa Monterey.

“Ini menunjukkan Korea Utara berhasrat melombong dan mengilang sejumlah besar uranium yang boleh berfungsi sebagai bahan api untuk mengembangkan simpanan stok senjata nuklearnya,” kata Lewis dalam satu analisis yang disiarkan lewat semalam di 38North, laman sesawang Institut Amerika Syarikat-Korea di Universiti Johns Hopkins.

Lewis mendapati uranium mentah juga mungkin bertujuan menghasilkan bahan api untuk reaktor air ringan yang sedang dibina di kompleks nuklear utama Utara Yongbyon.

Analisis keluar beberapa hari selepas pakar di HIS Jane’s berkata gambar satelit berasingan mencadangkan Korea Utara sedang mengendalikan dewan kedua pengempar penghasilan uranium di Yongbyon. Korea Utara telah melancarkan tiga ujian nuklear yang berjaya pada 2006, 2009 dan 2013.

Satu laporan terbaru oleh penyelidik AS mengingatkan Korea Utara dijangka mengembangkan program nuklearnya dalam tempoh lima tahun akan datang dan dalam senario kes paling teruk, mungkin memiliki 100 senjata nuklear pada tahun 2020. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA