Imigresen Sarawak tahan 41 pendatang asing di ladang kelapa sawit

Imigresen Sarawak tahan 41 pendatang asing di ladang kelapa sawit

KUCHING, 25 Jan – Jabatan Imigresen menahan 41 pendatang asing warga Indonesia termasuk dua wanita yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan permit kerja dalam satu serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Lundu/Biawak dekat sini, awal hari ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaannya, Garry Beyong John Siki berkata serbuan pada pukul 3 pagi itu dilakukan oleh 99 anggota imigresen yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Tinggi (TPPT), Yusdi Morshidi dan  Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad.

Dalam kenyataan di sini, Garry Beyong berkata pendatang asing yang ditahan kerana didapati melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan memasuki negara tanpa pas perjalanan atau permit kerja yang sah.

Kesemua mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian untuk siasatan lanjut, katanya.

Beliau berkata tiga wakil syarikat perladangan itu akan dipanggil untuk membantu siasatan. – Bernama