Imigresen S’wak rujuk 28 PATI kaum Suluk dan Bajau ke Sabah

Imigresen S’wak rujuk 28 PATI kaum Suluk dan Bajau ke Sabah

KUCHING, 28 Mei (Bernama) – Tiga lelaki, enam wanita dan 18 kanak-kanak serta seorang anak damit daripada kaum Suluk dan Bajau disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Miri bulan lepas, dihantar ke Jabatan Imigresen Sabah untuk tindakan lanjut semalam.

Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata semua pendatang itu dipindahkan ke Sabah menerusi perjalanan udara, dan pemindahan siri kedua itu membabitkan 13 pegawai Imigresen dari pejabat di bahagian Miri.

Menurutnya pemindahan pertama pada 14 Mei lepas membabitkan penghantaran tiga lelaki, enam wanita dan 12 kanak-kanak serta dua anak damit ke Jabatan Imigresen Sabah untuk tindakan lanjut.

Jabatan Imigresen Sarawak meningkatkan pengawasannya di seluruh negeri sejak kebelakangan ini, selepas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada Mac lepas ‘mengisytiharkan perang’ terhadap kehadiran PATI yang menurutnya jumlah mereka semakin bertambah, terutama kalangan kaum Suluk dan Bajau dari Filipina, yang bekerja di Miri kira-kira 800km dari sini.