Imigresen S’wak tahan 60 PATI

Imigresen S’wak tahan 60 PATI

KUCHING, 4 Feb – Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Sarawak di sini berjaya menahan 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua operasi berasingan sejak tengah malam tadi yang berakhir pukul 4 pagi ini.

Jabatan itu dalam kenyataannnya hari ini memaklumkan dalam serbuan pertama di tapak pembinaan di Jalan Lapangan Terbang di sini awal pagi ini, 135 pendatang telah diperiksa.

“Hasilnya 36 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia serta tiga lelaki warga India, ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan peraturan imigresen,” tambah kenyataan itu.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk bekerja tanpa permit, tinggal lebih daripada tempoh yang dibenarkan dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Menurut kenyataan itu lagi, satu lagi serbuan dilakukan di rumah kongsi tapak pembinaan Samariang Aman, di sini, dan 17 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan.

“Kesemua yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian untuk tindakan lanjut,” tambah kenyataan itu. – Bernama