Immobile ledak dua gol bantu Lazio

Immobile ledak dua gol bantu Lazio

MILAN, 2 Okt – Ciro Immobile meledak pada setiap babak dengan Keita Balde turut mencetak jaringan tatkala Lazio mendaki ke tangga ketiga Serie A apabila menang bergaya 3-0 ke atas Udinese, awal pagi tadi.

Dengan kecederaan menimpa Lucas Biglia, Stefan Radu, Bastos, penjaga gol Federico Marchetti dan Dusan Basta, pengendali Lazio Simeone Inzaghi terpaksa merombak kesebelasan utamanya bagi perjalanan ke utara Itali – Stadium Dacia Udinese.

Tetapi dengan Immobile mengepalai jentera serangan pelawat dan dibantu sayap Keita dan Felipe Anderson, Udinese pula yang berdepan masalah sepanjang perlawanan.

Pada akhirnya, skuad bimbingan Giuseppe Iachini tidak berdaya melakukan apa-apa sekali gus meninggalkan separuh daripada stadium kosong ketika permainan berbaki kira-kira 15 minit.

Immobile menanduk gol pembukaan pada minit ke-28 dan selepas Keita mengatasi Orestis Karnezis sebaik bersambung babak kedua, penyerang antarabangsa Itali itu melengkapkan jaringan bergandanya sewaktu permainan sudah hampir sejam.

Kemenangan keempat Lazio dalam tujuh perlawanan melonjak mereka ke tangga ketiga dengan dua mata di belakang peneraju, Juventus.

Aksi selepas ini berdepan Bologna, Torino, Cagliari dan Sassuolo memberi bayangan betapa skuad kendalian Inzaghi terus berupaya memperbaiki kedudukan dalam kelompok tiga terbaik Serie A.

Tetapi Keita berkata Lazio mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan. “Ia adalah kemenangan penting yang membolehkan kami pergi ke rehat antarabangsa dalam keadaan yang lebih tenang, tetapi kami mahu melihat kedudukan carta, masih terdapat banyak perlawanan yang perlu ditempuhi,” katanya kepada Sky Sport.

Terdahulu, dua jaringan babak kedua daripada Riccardo Meggiorini dan Roberto Inglese membantu Chievo kembali mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan bergelut Pescara. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA