Immobile selamat maruah Itali

Immobile selamat maruah Itali

SKOPJE, Macedonia, 10 Okt – Penyerang Lazio Ciro Immobile meledak gol kemenangan dalam masa kecederaan ketika Itali bangkit menewaskan Macedonia 3-2 awal pagi tadi.

Juara dunia empat kali itu hampir dimalukan pasukan kerdil Macedonia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 peringkat Kumpulan G.

Itali yang memerlukan sepakan penalti untuk mengutip satu mata ketika menentang Sepanyol Khamis lalu (awal pagi Jumaat), hampir pulang tangan kosong dari Skopje bertemu skuad ranking ke-146 dunia itu.

Penyerang Torino Andrea Belotti meletakkan Itali di depan pada minit ke-24, hanya empat minit selepas tonggak tuan rumah Ilija Nestorokvski melakukan percubaan melepasi palang.

Immobile (tengah) bersaing dengan pemain pertahanan Macedonia, Shikov (kiri) dan penjaga gawang Macedonia Bogatinov (kanan) pada perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA antara Macedonia dan Itali kelmarin. – AFP
Immobile (tengah) bersaing dengan pemain pertahanan Macedonia, Shikov (kiri) dan penjaga gawang Macedonia Bogatinov (kanan) pada perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA antara Macedonia dan Itali kelmarin. – AFP

Namun Nestorokvski menyamakan kedudukan pada minit ke-60 selepas merampas bola daripada Marco Verratti dan menewaskan penjaga gol veteran Gianluigi Buffon.

Dua minit kemudian, Macedonia mendahului permainan menerusi pemain tengah Ferhan Hasani yang menyempurnakan gerakan cantik hasil gandingan Goran Pandev dan Nestorovski.

Bagaimanapun, Immobile kembali mengimbangi keadaan 15 minit sebelum tamat dan dua minit usia masa kecederaan, dia memastikan kemenangan buat Itali selepas menyudahkan hantaran Antonio Candreva. Itali kini di tangga kedua kumpulan dengan tujuh mata tetapi Sepanyol mendahului dengan kelebihan jaringan. – AFP