Impak Drogba

Impak Drogba

LONDON, 26 Mei (AFP) – Jose Mourinho percaya pengaruh Didier Drogba akan terus dirasakan di Chelsea sekalipun penyerang Ivory Coast itu akan meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris itu kali kedua.

Drogba mengumumkan hasratnya meninggalkan Stamford Bridge sebelum kemenangan 3-1 ke atas Sunderland kelmarin yang memastikan anak buah Mourinho menamatkan kempen kejuaraan dengan bergaya sebelum menerima trofi selepas wisel penamat.

Pemain berusia 37 tahun itu mahu beraksi setahun lagi, namun perlu mencari kelab lain bagi aksi kerap dalam pasukan utama.

Drogba dinamakan sebagai kapten tetapi hanya selama 28 minit sebelum diusung keluar oleh rakan sepasukannya apabila dia digantikan oleh Diego Costa.

Bos Blues, Mourinho menegaskan legasi pemain veteran itu akan terus dirasai kerana impaknya terhadap pembangunan pemain muda kelab itu.

Drogba (kiri) dan Fabregas menjulang trofi Liga Perdana dalam perarakan kemenangan di London semalam. – Reuters
Drogba (kiri) dan Fabregas menjulang trofi Liga Perdana dalam perarakan kemenangan di London semalam. – Reuters

“Penggantian itu diputuskan kerana lututnya bermasalah dan dalam keadaan biasa, dia tidak boleh beraksi lama. Kami mengeluarkannya selepas setengah jam,” kata Mourinho.

“Kapten itu diputuskan oleh John Terry, yang memberinya lilitan di lengan. Pemain mengusungnya keluar? Saya fikir ia diputuskan mereka kerana mereka memang sukakannya.

“Saya amat gembira kerana dia akan menjadi ahli pasukan lain, tapi dia turut dimiliki kelab baru Chelsea ini.

“Bagi pemain untuk mengenalinya, berlatih bersamanya, tinggal bersamanya, bermain bersamanya, berkongsi dengannya adalah fantastik.

“Dia amat bagus terhadap pemain muda: Eden Hazard, Willian, Oscar. Mereka banyak belajar contoh yang baik. Sumbangannya terlalu bermakna musim ini.”