Impian Alli jadi kenyataan

Impian Alli jadi kenyataan

LONDON, 11 Okt – Tujuh tahun selepas kunjungan pertamanya ke Wembley sebagai peminat MK Dons, Dele Alli kini berdepan situasi di luar dugaannya apabila kali ini berada di stadium terkenal itu sebagai pemain England.

Alli yang beraksi dalam League One, enam bulan lalu menyarung jersi England buat kali pertama apabila menentang Estonia awal pagi semalam.

Kunjungan pertama pemain tengah itu ke stadium keramat berkenaan adalah pada 2008 sewaktu berusia 12 tahun, menyaksikan pasukan tempat kelahirannya, MK Dons menewaskan Grimsby pada final Johnstone’s Paint Trophy.

“Saya tidak pernah bermain di Wembley lagi, pastinya bermain untuk England satu impian yang menjadi kenyataan,” kata pemain berusia 19 tahun sebelum perlawanan menentang Estonia.

Tottenham membawa masuk Alli dari MK Dons, Januari lalu dan kemudian meminjamkannya kembali ke kelab divisyen ketiga itu sepanjang baki musim berkenaan.

Gambar fail menunjukkan Dele Alli ketika sesi latihan di St George’s Park berhampiran Burton-on-Trent, bahagian tengah England. – AFP
Gambar fail menunjukkan Dele Alli ketika sesi latihan di St George’s Park berhampiran Burton-on-Trent, bahagian tengah England. – AFP

Pemain remaja itu tidak menghadapi banyak masalah menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris.

Dia menjaringkan gol pada penampilan kedua bersama Spurs, beraksi dalam tujuh daripada lapan perlawanan kelab itu setakat ini.

Alli sedang membuat persiapan perlawanan Liga Europa minggu lalu apabila pengurus Spurs, Mauricio Pochettino memberitahu dia tersenarai dalam skuad Roy Hodgson untuk perlawanan menentang Estonia dan Lithuania.

“Pengurus Tottenham bercakap kepada saya sebelum kami menentang Monaco dan bertanya sama ada saya mahu menyertai skuad Bawah-19 Euro. Saya berkata, boleh jika saya dibenarkan, biarpun menganggap diri saya sudah terlalu tua,” katanya.

“Sewaktu skuad senior diumumkan secara rasmi, saya berada di hotel di Monaco membuat persiapan perlawanan jadi saya tidak mahu memikirkannya dan enggan melihat telefon. Bagaimanapun selepas perlawanan, saya dapati banyak mesej daripada rakan di telefon dan terus menghubungi keluarga.”

ARTIKEL YANG SAMA