Impian Chong Wei tidak kesampaian

Impian Chong Wei tidak kesampaian

JAKARTA, 16 Ogos (Bernama) – Impian bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2015 tidak kesampaian apabila kecundang kepada penyandang juara, Chen Long dari China di Istora Senayan di sini hari ini.

Kalau selama ini Istora Senayan menjadi gelanggang bertuah buat Chong Wei yang memenangi lima gelaran Terbuka Indonesia, kali ini ia menyaksikan impiannya menjulang gelaran dunia berkubur sebaik tewas 14-21, 17-21 dalam masa 65 minit.

Ini mungkin penampilan terakhir Chong Wei, 33, di Kejohanan Dunia kerana tidak mungkin beraksi pada edisi akan datang pada 2017 kerana ia tidak dipertandingkan pada tahun Sukan Olimpik dilangsungkan iaitu tahun depan.

Walaupun Chong Wei cuba bangkit dalam set kedua, namun ketangkasan Chen Long tidak dapat disangkal oleh Chong Wei.

Chong Wei berkata, dia memahami harapan tinggi yang diletakkan rakyat Malaysia tetapi menegaskan kekecewaan itu tidak akan membuatkannya putus asa dalam memburu satu lagi kejuaraan utama yang belum pernah dimilikinya iaitu pingat emas Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Pemenang pingat emas Chen Long (dua kiri) bergambar bersama naib juara Lee Chong Wei (kiri) dan pemenang pingat gangsa Kento Momota (dua kanan) dan Jan O. Jargensen (kanan) di podium selepas kejohanan di Senayan, Jakarta selesai petang tadi. – AFP
Pemenang pingat emas Chen Long (dua kiri) bergambar bersama naib juara Lee Chong Wei (kiri) dan pemenang pingat gangsa Kento Momota (dua kanan) dan Jan O. Jargensen (kanan) di podium selepas kejohanan di Senayan, Jakarta selesai petang tadi. – AFP

Untuk rekod, ini adalah final kejohanan utama kelima dalam tempoh lima tahun buat Chong Wei sejak 2011 yang menyaksikannya kecundang di tangan pemain China.

Bagi Kejohanan Dunia 2011 dan 2013, dia tewas kepada Lin Dan, begitu juga di final Sukan Olimpik 2012, manakala Chen Long menjadi penghalangnya di Kejohanan Dunia 2014 dan tahun ini. Begitupun pingat edisi 2014 ditarik balik selepas Chong Wei gagal dalam ujian doping yang menyaksikannya digantung lapan bulan.

Jurulatih negara, Hendrawan pula berkata, Chong Wei telah melakukan yang terbaik dan walaupun cuba memberi tekanan kepada Chen Long dalam set kedua, lawannya itu mempunyai semangat yang kental.

Beliau berkata, taktik dan rentak permainan Chong Wei sentiasa berubah bagi membolehkannya menunduk lawan sejak pusingan awal Kejohanan Dunia itu tetapi pada hari ini, keadaan lebih memihak kepada Chen Long.

Sementara itu, Carolina Marin dari Sepanyol berjaya mempertahankan gelaran perseorangan wanita apabila menundukkan pemain India, Saina Nehwal 21-16, 21-19.