Impian emas Peng Soon-Liu Ying berakhir

Impian emas Peng Soon-Liu Ying berakhir

RIO DE JANEIRO, 18 Ogos – Impian emas beregu campuran Malayisa, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berakhir dalam masa 45 minit selepas tunduk 14-21, 12-21 kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir di final Sukan Olimpik Rio.

Peng Soon-Liu Ying terpaksa mengakui kehebatan gandingan nombor tiga dunia itu yang mahukan kemenangan bukan sahaja untuk pingat emas pertama negara mereka di Rio tetapi hadiah terbaik bagi ulang tahun kemerdekaan Indonesia pada Rabu.

Laluan gandingan beregu itu di Pavilion 4, Riocentro sememangnya sukar kerana hanya menang sekali daripada sembilan pertemuan dengan juara dunia 2013 itu, termasuk yang terbaru apabila tewas 15-21, 11-21 dalam aksi peringkat kumpulan Sabtu lepas.

“Kami sudah cuba yang terbaik tapi lawan jelas lebih bagus,” kata Peng Soon yang turut berterima kasih kepada penyokong terutama isterinya, Cham May May dan keluarganya di Pulau Pinang.

Dalam set pertama, Peng Soon-Liu Ying sekadar dapat merapatkan kedudukan pada 9-11, sebelum gandingan Indonesia itu melebarkan jurang dan menamatkan set tersebut dengan 14-21.

pg24_160819_olympic logo

Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (kiri) ketika aksi menentang pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir di perlawanan akhir badminton Sukan Olimpik Rio 2016 berlangsung di Riocentro Pavilion 4. – Bernama
Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (kiri) ketika aksi menentang pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir di perlawanan akhir badminton Sukan Olimpik Rio 2016 berlangsung di Riocentro Pavilion 4. – Bernama

Cerita sama juga berlaku dalam set kedua apabila pasangan Malaysia memberi harapan seketika pada kedudukan 10-13, sebelum Tontowi-Liliyana memastikan kemenangan yang cukup istimewa untuk kemerdekaan Indonesia ke-71, dengan 12-21.

Namun, Peng Soon-Liu Ying yang mencipta sejarah menjadi beregu campuran pertama Malaysia mara ke final, tetap mampu berbangga apabila pulang dengan pingat perak.

“Saya masih tidak percaya dapat bermain di final Olimpik walaupun ini bukan permainan yang terbaik daripada kami.

“Sekarang beregu campuran negara semakin meningkat dan saya percaya untuk Sukan Olimpik akan datang, kita juga boleh mengharapkan sesuatu,” kata Liu Ying.

Malaysia masih berpeluang mencari pingat emas pertama Olimpik menerusi acara beregu lelaki apabila Goh V Shem-Tan Eee Kiong akan beraksi menentang Fu Haifeng and Zhang Nan dari China di final Jumaat ini. – Bernama