Impian hatrik Fraser-Pryce lebur

Impian hatrik Fraser-Pryce lebur

SHANGHAI, 19 Mei – Juara dunia dan Olimpik, Shelly-Ann Fraser-Pryce menamatkan saingan 100 meter di tempat kelima Liga Berlian Shanghai sekali gus merencatkan impiannya untuk merangkul gelaran dunia buat kali ketiga berturut-turut.

Dalam aksi Liga Berlian kedua musim ini, David Oliver menang acara berhalangan 110m manakala Almaz Ayana muncul juara acara 5,000m wanita dengan rekod baru 14 minit 14.32 saat.

Atlet Qatar, Mutaz Essa Barshim mencatat 2.38m untuk menang acara lompat tinggi manakala juara Olimpik Kirani James menang acara 400m.

Di sebalik kecemerlangan atlet lain, Fraser-Pryce berdepan kekalahan pertamanya musim ini apabila menamatkan larian di belakang atlet Nigeria, Blessing Okagbare serta Veronica Campbell-Brown yang menduduki tempat keempat.

Okagbare-Ighoteguonor (kanan) dari Nigeria berjaya mengatasi Shelly-Ann Fraser-Pryce (tengah) dan Veronica Campbell-Brown dari Jamaica dalam acara 100m di Diamond League Shanghai semalam. - AFP
Okagbare-Ighoteguonor (kanan) dari Nigeria berjaya mengatasi Shelly-Ann Fraser-Pryce (tengah) dan Veronica Campbell-Brown dari Jamaica dalam acara 100m di Diamond League Shanghai semalam. – AFP

“Perasaan saya biasa saja,” kata Fraser-Pryce yang masih mempunyai baki tiga bulan untuk memperbaiki catatan sebelum Kejohanan Dunia. “Saya tidak sabar untuk aksi seterusnya. Saya akan menghadapinya satu demi satu.”

Okagbare yang muncul juara 200m dan lompat jauh di Shanghai tahun lalu, gembira dengan kejayaannya itu.

Sambil disaksikan bintang China yang baru mengumumkan persaraannya, Liu Xiang, atlet Amerika Syarikat David Oliver tersilap ketika melewati empat halangan pertama dalam acara 110m tetapi masih mampu muncul pemenang.

Juara dunia itu mencatat 13.17s untuk menamatkan saingan di depan atlet Cuba, Orlando Ortega dengan juara Olimpik serta pemegang rekod dunia, Aries Merritt di tangga ketiga. – AFP