Impian HMD FT tercapai

Impian HMD FT tercapai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – HMD FT membuktikan ‘kegagalan sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya’ apabila memperbaiki rekodnya yang terkandas di suku akhir Piala Standard Chartered (SC Cup) 2015 kepada menyandang gelaran juara SC Cup 2016 malam tadi.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir berkenaan dan seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Standard Chartered (SCB) Brunei, Rino Donosepoetro (Donny).

Yang Berhormat Pehin turut menyempurnakan penyampaian hadiah individu kepada Penjaga Gol Terbaik berupa bola LFC bertandatangan para pemain LFC, Muhd Azamri daripada Brunei Shell Lions, Pembantu Jaringan Terbanyak, Muhd Fauzan daripada HMD FT dan Penjaring Terbanyak, Mohd Abdul Khaalid daripada Plan C FT yang masing-masing menerima jersi LFC bertandatangan para pemain LFC.

Pada perlawanan tersebut, HMD FT memperolehi kemenangan mudah 3-0 ke atas lawannya, Plan C FT di gelanggang final itu merealisasikan impian mereka memperoleh apa yang direbuti ramai peminat tegar Liverpool FC (LFC) iaitu menjejakkan kaki dan menonton LFC beraksi di Stadium Anfield, Liverpool, United Kingdom (UK).

Sebagai juara, ketujuh-tujuh orang pemain HMD FT menerima hadiah utama berupa tiket (pergi dan balik kelas ekonomi) dari Brunei Darussalam ke UK, perjalanan dalam jadual, penginapan sepanjang berada di UK, tiket menyaksikan LFC beraksi di Anfield dan sesi latihan di Akademi LFC, yang membuka peluang berjumpa para jurulatih dan lagenda LFC.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Rino bersama Juara SC Cup 2016, HMD FT.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Rino bersama Juara SC Cup 2016, HMD FT.

HMD FT yang dibarisi empat orang adik-beradik dan tiga sahabat karib mereka dan diurus oleh bapa empat beradik itu, Haji Daud bin Haji Abdul Kadir, dijangka bertolak ke UK di bawah tajaan penuh SCB pada 5 hingga 9 Mei 2016 nanti dan dijadualkan akan menyaksikan perlawanan terakhir musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2015/2016 antara Liverpool dengan Watford di tempat duduk petak eksekutif, Anfield.

Pada aksi final di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) malam tadi, HMD FT selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan dua beradik, Awang Khairun Nadzereen bin Haji Mohd Daud pada minit ke-4 dan adiknya, Awang Ahmad Muhazzib tiga minit kemudian.

Plan C FT cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi tugas mereka disukarkan lagi tiga minit selepas rehat iaitu pada minit ke-13 apabila pemainnya, Awang Mohd Shahin yang cuba menyelamatkan gawangnya dengan menendang bola keluar untuk sepakan sudut lawan, hanya untuknya terbaring hampa terjaring ke gol sendiri.

Pada malam kelima dan terakhirnya malam tadi selepas dijalankan di peringkat kumpulan pada 4, 5 dan 6 April, dan kemudiannya di suku akhir pada 8 April, empat buah pasukan bersaing di separuh akhir.

Keputusannya Plan C FT menang 4-3 menerusi sepakan penalti ke atas pasukan pilihan juara, Real Five FT selepas masa sebenar berakhir 0-0, manakala HMD FT menang 9-8 ke atas Brunei Shell Lions selepas sepakan penalti apabila masa sebenar tamat 2-2.

Kejohanan yang disertai 24 buah pasukan futsal tempatan (12 pasukan jemputan dan 12 pasukan awam terpilih) itu merupakan anjuran SCB Brunei buat kali keduanya, yang mendapat sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan diendors oleh NFABD.

Kesemua tujuh orang pemain daripada 24 buah pasukan berkenaan tidak pulang dengan tangan kosong kerana telah menerima cenderamata rasmi LFC yang telah disampaikan oleh Ketua Hal Ehwal Korporat, SCB, Marilyn Graeme.

ARTIKEL YANG SAMA