Impian jadi anggota bomba tercapai

KOTA KINABALU, 13 Sept – “Sangat gembira, hari inilah paling saya ‘happy’, semua orang sambut,” demikian kata kanak-kanak pengidap leukemia Mohammad Faisul Iman, 13.

Kanak-kanak dari Kampung Sri Menanti, Kinarut ini gembira kerana impiannya untuk menjadi ‘anggota bomba’ tercapai hari ini.

Dia yang kini menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas menjadi anggota bomba di perkarangan hospital berkenaan dengan turut disaksikan ibu bapanya.

Mohammad Faisul dipakaikan dengan pakaian lengkap anggota bomba dan dibawa menaiki jentera bomba yang sirennya dibunyikan dan bergerak di sekitar kawasan perkarangan hospital.

Dia dengan dibantu anggota bomba memegang hos pemadam api jentera bomba sambil memancutkan air ke arah pokok di perkarangan hospital sebagai simbolik operasi memadamkan kebakaran oleh anggota bomba.

Penghidap leukemia Mohammad Faisul Iman dari Kampung Seri Menanti Kinarut Papar bersama ibunya Norah Kipli (lima kiri) mengabdikan kenangan di hadapan Jentera Scania FRT Bomba di Hospital Likas. – Bernama

“Tidak apalah kalau tidak dapat ke balai bomba. Memang saya ada cita-cita untuk menjadi ahli bomba tetapi sudah sakit (begini), tidaklah dapat capai cita-cita saya itu. Tapi syukur Alhamdulillah, bomba datang sini dan bawa saya jalan-jalan, saya sangat happy,” katanya.

Pelajar Tingkatan 2 SMK Kinarut ini sedang menyambung pembelajarannya di hospital.

Impiannya menjadi anggota bomba dipenuhi Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS) dengan kerjasama hospital itu dan Balai Bomba Lintas.

Pegawai Bomba Kanan 2, Rozamshah Rahmat berkata dari raut wajah kanak-kanak itu dia begitu teruja.

“Dia ucap ‘terima kasih abang bomba’ selepas sahaja kami membawanya turun dari jentera bomba dan menaiki semula kerusi rodanya untuk dibawa melakukan pancutan air sebelum dibawa semula naik ke wad,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden WCS, Teoh Teik Hoong berkata mereka menerima hasrat Mohammad Faisul daripada pihak hospital dan seterusnya menyampaikan hasrat itu kepada pihak bomba.

Katanya sejak 2007 WCS sudah memenuhi impian kira-kira 700 kanak-kanak di seluruh negara dan 100 daripadanya adalah kanak-kanak di Sabah. – Bernama