Impian Messi ranap

Impian Messi ranap

SANTIAGO, 6 Julai (AFP) – Chile meranapkan impian Lionel Messi untuk melakar kejayaan pertama bersama skuad kebangsaan Argentina selepas menang menerusi penentuan penalti semalam, sekali gus menamatkan penantian selama 99 tahun untuk menjulang Piala Copa America.

Bintang Arsenal Alexis Sanchez menjaringkan sepakan penalti terakhir Chile untuk membolehkan tuan rumah menewaskan Argentina menerusi penentuan penalti 4-1.

Sebaik dia berjaya memasukkan bola ke gawang gol lawan, kira-kira 45,000 penonton di Stadium Nasional Santiago bersorak gembira meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka.

Chile jelas menyerlah semasa penentuan penalti ketika sepakan Gonzalo Higuain tersasar sebelum penjaga gol Chile Claudio Bravo menyelamatkan sepakan Banega.

Messi yang mengetuai Argentina dan berharap dapat membantu skuadnya memenangi Copa America buat kali pertama selepas 22 tahun, hanya mampu melihat Chile meraikan kejayaan.

Messi kembali kepada skuad selepas menerima pingat perak kejohanan Copa America selepas tewas kepada Chile sekali gus muncul naib juara di Santiago kelmarin. – AFP
Messi kembali kepada skuad selepas menerima pingat perak kejohanan Copa America selepas tewas kepada Chile sekali gus muncul naib juara di Santiago kelmarin. – AFP

Pemain terbaik dunia empat kali itu berulang kali menyatakan hasratnya untuk memenangi kejuaraan bersama Argentina selepas memenangi segala-galanya bersama Barcelona.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu berdepan kekecewaan sekali lagi, hanya 12 bulan selepas tewas kepada Jerman pada final Piala Dunia. Chile memenangi perlawanan pertama mereka ke atas Argentina di saingan Copa America.

“Ia umpama mimpi jadi kenyataan. Kami bekerja keras untuk kemenangan ini,” kata bintang Chile Arturo Vidal.

Pemain tengah itu berkata, Chile sememangnya mahu memenangi Copa America selepas tersingkir awal di Piala Dunia tahun lalu.

“Kami bercakap mengenai hasrat ini di Brazil bahawa kami mahu memenangi Copa America. Kami berhak untuk menang,” kata Sanchez.

Sementara itu, jurulatih Chile Jorge Sampaoli berkata, barisan pemainnya berhak untuk menang. Barisan pemain Argentina pula tidak dapat menahan kekecewaan.

Pemain tengah Javier Mascherano sudah melalui pengalaman selama tiga kali kecundang di saingan Copa America dan juga antara barisan pemain yang tewas pada final Piala Dunia tahun lalu. “Saya sendiri tak dapat menggambarkan perasaan ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA