Impian miliki rumah baru terlaksana

Impian miliki rumah baru terlaksana

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Hasrat seorang wanita warga emas untuk mempunyai sebuah rumah yang selesa dan selamat untuk didiami bersama suami serta keluarganya kini menjadi kenyataan apabila beliau menerima rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Kampung Mulaut, Jalan Kilanas Mulaut, hari ini.

Pembinaan rumah bantuan bagi Dayang Fatimah binti Haji Jumat, 66 tahun, merupakan hadiah yang istimewa dan amat bermakna bagi mereka sekeluarga.

Majlis peletakan batu asas rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan bagi keluarga berkenaan telah diadakan hari ini dan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, pegawai kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Rumah Dayang Fatimah adalah dalam keadaan daif dan usang serta beliau hanya mengharapkan pencen tua sebanyak $250 sebulan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Yang Berhormat Pehin menyempurnakan majlis memulakan tiang rumah bantuan bagi Dayang Fatimah, hari ini.
Yang Berhormat Pehin menyempurnakan majlis memulakan tiang rumah bantuan bagi Dayang Fatimah, hari ini.

Suami beliau, Awang Ahmad Abdullah merupakan warga emas yang berstatus penduduk tetap dan masih berkhidmat sebagai buruh di Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan gaji $800 sebulan.

Pasangan suami isteri itu mempunyai empat orang anak dan kesemuanya telah berkahwin dengan dua daripadanya masih tinggal bersama sebumbung.

Sebelum ini, Dayang Fatimah dan keluarga pernah berusaha membina rumah baru sendiri namun memandangkan kewangan yang tidak mencukupi, maka pembinaan berkenaan terbengkalai. Pendapatan sekeluarga yang diperolehi hanyalah cukup untuk perbelanjaan harian.

Awang Ahmad semasa ditemui Media 1Permata berkata, mereka sekeluarga amat bersyukur dan gembira dengan bantuan yang dihulurkan kerana bukan sahaja impian untuk mempunyai rumah sendiri yang baru sudah tercapai tetapi kini mereka mempunyai sebuah rumah yang selesa serta selamat untuk didiami sekeluarga.

Rumah bantuan itu berkonsepkan tiga buah bilik tidur dilengkapi dengan bilik tamu, dapur dan tandas, yang mana ia dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Pembinaan rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan merupakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh Yayasan sebagai usahanya untuk mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat di Brunei selaras dengan dasar dan tujuan penubuhan Yayasan.

Rumah-rumah bantuan di bawah skim itu adalah dikhususkan kepada saudara-saudara baru dan mereka yang daif dan tidak berkemampuan mendirikan rumah sendiri. Ia dikurniakan secara percuma kepada para penerima yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh Yayasan.

Pembinaan rumah bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan dihasratkan untuk memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan yang selesa, bersih dan selamat bagi mewujudkan kehidupan berkeluarga yang aman dan harmoni.

ARTIKEL YANG SAMA