Impian Sterling

Impian Sterling

ALICANTE, Sepanyol, 12 Nov (AFP) – Sekalipun boleh dianggap ‘muka baru’ bagi skuad negaranya, bintang muda Manchester City, Raheem Sterling, tidak takut bercita-cita tinggi apabila menggariskan matlamatnya menjadi antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak England.

Pemain berusia 20 tahun itu baru menyarung jersi England 18 kali dan menyumbatkan dua gol sejak meledakkan bakatnya sejurus sebelum Piala Dunia di Brazil tahun lalu.

Dan sekalipun pengalaman sulung mewakili pasukan negaranya di kejohanan besar berakhir dengan kehampaan apabila England tersingkir selepas hanya dua perlawanan di Brazil, pemain sayap City itu mengetuai ‘revolusi’ bola sepak negaranya yang menyaksikan penampilan beberapa bakat muda bagi menerajui kempen cemerlang di pusingan kelayakan Euro 2016.

Sterling dan rakan-rakannya menamatkan pusingan kelayakannya dengan rekod 100 peratus kemenangan daripada semua 10 perlawanan mereka dan mengutip 30 mata penuh untuk menjuarai Kumpulan E, mengatasi Switzerland di tangga kedua manakala Slovenia di tangga ketiga perlu melalui pertarungan penentuan untuk menjamin tempat ke pusingan akhir Kejohanan Eropah yang akan berlangsung di Perancis tahun depan.

Bekas bintang Liverpool itu turut berpeluang menyaksikan dua tunggak veteran – kapten England, Wayne Rooney, dan bekas mentor di kelab lamanya, Steven Gerrard, menyertai senarai elit hanya sembilan pemain yang mengatasi angka ajaib 100 kali menyarungi jersi England sejauh ini.

Sterling berharap dapat meraih 100 kap bersama England dan menyertai senarai pemain terhebat skuad The Three Lions yang lain. – Reuters
Sterling berharap dapat meraih 100 kap bersama England dan menyertai senarai pemain terhebat skuad The Three Lions yang lain. – Reuters

Pengurus England, Roy Hodgson, tidak teragak-agak melahirkan keyakinan melihat pemain mudanya itu menyertai ‘senarai magis’ itu dengan Sterling sendiri akui bahawa ia adalah antara matlamat yang ingin dicapainya dalam sukan itu.

“Saya tidak mahu menyembunyikan apa-apa lagi. Saya ingin melakukan yang terbaik untuk negara saya… menyertai senarai pemain terhebat dan mudah-mudahan dapat mencecah angka 100 kali menyarungi jersi England,” ujar Sterling yang bersama skuad negaranya berada di sini bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sepanyol esok (Sabtu).

“Saya mempunyai 18 kap sekarang dan jika saya terus bekerja keras dan beraksi dengan baik untuk kelab, harap-harap saya dapat dipilih (skuad England).

“Saya sedar laluannya masih jauh tetapi itulah cita-cita saya,” tambah Sterling yang membuktikan bahawa beliau juga tidak takut mengambil keputusan yang sukar sepanjang kerjayanya sejauh ini.

Antaranya ialah memalingkan dirinya daripada kontrak lumayan Liverpool untuk menyahut tawaran City pada musim panas lalu – keputusan yang mencetuskan kemarahan para penyokong kelab Anfield itu. – AFP

Namun, dengan City kini di tangga teratas Liga Perdana dan sudah pun menjamin tempat mereka ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara – yang turut menyaksikan Sterling menyumbatkan gol semasa kemenangan 3-1 ke atas Sevilla minggu lalu – ternyata masa depan penuh cerah menantikan bakat muda England ini.