Impian The Foxes semakin dekat

Impian The Foxes semakin dekat

LEICESTER, 25 April – Leicester City kini semakin hampir untuk melengkapkan perjalanan epik bagi menjuarai Liga Perdana Inggeris buat pertama kali, selepas dua gol jaringan Leonardo Ulloa membantu mereka mengatasi Swansea City 4-0 dalam perlawanan di Stadium King Power, semalam.

Impian The Foxes menyempurnakan misi mustahil dari pasukan yang tidak diletakkan harapan kepada juara Inggeris, tampak semakin cerah selepas 10 minit apabila kecuaian Ashley Williams mengeluarkan bola membuka ruang buat Riyad Mahrez untuk meledak gol ke-17 dirinya musim ini.

Ulloa mengisi kekosongan ditinggalkan penjaring terbanyak, Jamie Vardy yang dalam penggantungan, menyempurnakan tugasnya dengan cemerlang.

Dia menanduk masuk gol kedua dan menolak mudah gol ketiga untuk Leicester selesa mendahului permainan sambil penyokong-penyokong menyanyi: “Adakah anda melihatnya, Tottenham?”

Spurs yang menonton dengan penuh harapan hanya mampu menghela nafas panjang apabila pemain gantian Marc Albrighton meledak gol keempat di hujung permainan bagi mengesahkan kelebihan lapan mata Leicester ke atas kelab London di tangga kedua itu.

Para pemain Leicester City meraikan kemenangan mereka pada perlawanan tersebut. – AP
Para pemain Leicester City meraikan kemenangan mereka pada perlawanan tersebut. – AP

Sekiranya Tottenham tewas pada perlawanan di laman sendiri kepada West Bromwich Albion esok, The Foxes hanya memerlukan lima mata daripada tiga perlawanan terakhir untuk bergelar juara Ahad ini dengan kemenangan ke atas Manchester United.

“Saya memberitahu mereka kita mempunyai impian dan kini kita perlu berjuang untuk menjadikannya satu realiti,” kata pengendali Leicester Claudio Ranieri. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA