IMTS Oktober 2015 menurun

IMTS Oktober 2015 menurun

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Jumlah perdagangan negara bagi bulan Oktober 2015 menurun sebanyak 15.3 peratus kepada $968 juta yang terdiri dari eksport ($625.8 juta) dan import ($342.2 juta).

Sementara itu, imbangan perdagangan pula meningkat bulan-ke-bulan sebanyak 11.8 peratus kepada $283.6 juta, demikian menurut perangkaan perdagangan antarabangsa yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Menurut JPKE, eksport barangan bagi bulan Oktober 2015 menurun daripada $698.2 juta kepada $625.8 juta disebabkan oleh penurunan dalam eksport utama negara iaitu LNG. Eksport LNG mencatatkan penurunan sebanyak 28.1 peratus berikutan penurunan dagangan isi padu LNG daripada 1,034,047 MMBtu sehari (September 2015) kepada 702,758 MMBtu sehari (Oktober 2015).

Walau bagaimanapun, purata harga eksport LNG meningkat dari USD9.48/MMBtu (September 2015) kepada USD9.88/MMBtu pada Oktober 2015. Manakala, nilai eksport minyak mentah pula meningkat sebanyak 9.7 peratus. Ini adalah disebabkan peningkatan dagangan isi padu minyak mentah daripada 115.55 kbbl sehari (September 2015) kepada 141.48 kbbl sehari pada Oktober 2015.

Dalam kenyataan itu lagi, pasaran eksport terbesar adalah dari Negara Jepun dengan 40.5 peratus daripada jumlah eksport, diikuti oleh Thailand (16.0 peratus), Malaysia (11.7 peratus) dan Kuwait (7.2 peratus).

Import barangan menurun sebanyak 23.0 peratus daripada $444.6 juta (September 2015) kepada $342.2 juta pada bulan Oktober 2015. Ini disebabkan oleh penurunan dalam import Pelbagai Urusniaga (58.8 peratus), jentera dan kelengkapan pengangkutan (56.7 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (29.4 peratus).

Import terbesar pula adalah dari Negara Malaysia sebanyak 20.2 peratus daripada jumlah import, diikuti oleh Singapura (20.0 peratus), China (13.7 peratus) dan Amerika Syarikat (7.8 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam adalah menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula. Laporan penuh IMTS bagi bulan Oktober 2015 boleh didapati melalui laman web JPKE di www.depd.gov.bn.