In-Bee juarai PGA Wanita

In-Bee juarai PGA Wanita

HARRISON, AS, 15 Jun (AFP) – Bintang golf Korea Selatan, Park In-Bee menjuarai Kejuaraan PGA Wanita buat kali ketiga berturut-turut, hari ini sekali gus kembali menghuni ranking nombor satu dunia.

Park menamatkan saingan dengan catatan lima bawah par 68 untuk menyamai rekod lapangan 19 bawah par 273 keseluruhan dengan kelebihan besar lima pukulan di depan pemenang tempat kedua, Kim Sei-Young. Kejuaraan PGA Wanita adalah kejohanan kedua Major golf wanita LPGA, musim ini.

“Saya tidak tahu ayat untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Ia permainan yang hebat. Tiga hari terakhir ini saya merasa agak sukar untuk mempercayainya,” kata Park.

“Saya melakukan permainan tanpa bogey selama tiga hari!,” katanya yang melakukan catatan keseluruhan 19 bawah par 273.

Catatan itu menyamai rekod jumlah terendah di lapangan terbabit yang sebelum ini dilakukan Cristie Kerr pada 2010 dan pemain Taiwan, Yani Tseng pada 2011.

Park In-Bee memegang trofi PGA Wanita KPMG di Westchester Country Club di Harrison, New York semalam. – AFP
Park In-Bee memegang trofi PGA Wanita KPMG di Westchester Country Club di Harrison, New York semalam. – AFP

Kemenangan menyaksikan Park, 26 turut menyamai kejayaan elit pemain Sweden, Annika Sorenstam yang memenangi tiga gelaran Kejuaraan LPGA berturut-turut.

Bagi rakan senegara Park, Kim kejayaan mengejutkan pemain nombor satu dunia itu pada Kejuaraan Lotte musim ini sukar untuk diulang.

Kim melakukan catatan hari terakhir dengan dua pukulan bawah par 71 dan menamatkan saingan keseluruhan dengan catatan 278.

Pemain golf AS, Lexi Thompson yang melakukan lapan birdie pada 13 lubang menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan keseluruhan 280. Thompson begitupun melakukan catatan menakjubkan pada hari terakhir dengan tujuh bawah par 66.

Kejayaan Park menyaksikannya mengatasi ranking dunia yang sebelum ini dipegang pemain berusia 18 tahun New Zealand, Lydia Ko yang gagal melepasi pusingan cut.

Kejohanan Major golf wanita, Kejuaraan PGA Wanita tahun ini adalah pertama kali dipertandingkan dengan kerjasama LPGA dan PGA AS.

ARTIKEL YANG SAMA